BERITA SEMASAPOLITIK

PRN Sabah : Rundingan BN-GRS belum dimuktamad

PUTRAJAYA – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan rundingan kerjasama antara BN dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih belum mencapai kata putus menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bagaimanapun katanya, melalui kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), parti itu kini memberi tumpuan kepada kerusi-kerusi yang berpotensi menang.

“Kita telah memantap dan memuktamadkan rundingan dengan PH tapi dengan GRS belum dimuktamadkan dan kita hormati kerjasama antara PH dengan GRS.

“Yang penting adalah soal kemenangan, jadi kita lebih tumpukan kerusi-kerusi yang kita boleh menangi dan itulah tumpuan kita,” katanya
selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rundingan antara UMNO dengan GRS yang masih belum menemui titik pertemuan pada masa ini.

Ahmad Zahid berkata, kesiapsiagaan jentera di seluruh 73 DUN di Sabah telah lama digerakkan dan telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang perlu diberikan tumpuan.

Media sebelum ini melaporkan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dalam satu kenyataan bersama menolak kemungkinan bekerjasama dengan UMNO atau BN dalam PRN Sabah.

Awal bulan lalu, PH telah berunding dengan BN dan GRS bagi mencapai kata sepakat mengelak pertembungan di antara tiga gabungan itu pada PRN17.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persefahaman ketika ini dilaksanakan bagi memastikan ketiga-tiga gabungan dapat bekerjasama menghadapi pilihan raya berkenaan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button