BERITA SEMASADALAM NEGERI

Dakwaan PKR tanding solo PRN Johor tidak tepat – Dr. Zaliha

JOHOR BAHRU – Dakwaan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai mengelirukan dan tidak berasas.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi PKR Johor, Datuk Dr. Zaliha Mustafa yang menyifatkan laporan oleh sebuah portal berita baru-baru ini tidak tepat, selain bersifat spekulatif dan tidak mencerminkan kedudukan sebenar perbincangan di peringkat parti dan Pakatan Harapan (PH) setakat ini.

Menurut beliau, PKR Johor kekal komited memperkukuh kerjasama dengan rakan komponen dalam PH bagi memastikan kestabilan politik serta kelangsungan agenda reformasi demi kepentingan rakyat.

“Sebarang keputusan berkaitan strategi menghadapi PRN Johor akan ditentukan melalui proses perundingan tersusun di peringkat dalaman parti, selain dibincangkan di peringkat negeri dan nasional,” kata bekas Menteri Kesihatan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu.

Dr. Zaliha merupakan antara pemimpin kanan PKR yang pernah memegang jawatan Naib Presiden parti dan kini diberi tanggungjawab mengetuai kepimpinan parti di Johor.

Dalam pada itu, beliau berkata, keutamaan ketika ini adalah memperkukuh gerak kerja di lapangan bersama rakan gabungan, selain menyokong dasar serta usaha Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi global serta tekanan kenaikan harga barang.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya tidak membuat andaian atau menyebarkan spekulasi tidak berasaskan fakta kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kestabilan politik serta kerjasama antara parti yang sedang diperkukuh ketika ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button