28 ‘game changer’ baharu diperkenal, pacu pembangunan desa berimpak tinggi
KUALA NERUS – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperkenalkan 28 inisiatif strategik baharu atau ‘game changer’ bagi tahun 2026 sebagai langkah mempercepat pembangunan luar bandar secara lebih sistematik, inklusif dan berimpak tinggi kepada kesejahteraan masyarakat desa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif tersebut dirumuskan menerusi Permukiman KKDW dan Syarikat Milikan Agensi Tahun 2026 yang memberi tumpuan kepada tujuh kluster utama pembangunan desa.
Menurut beliau, pendekatan baharu itu dibangunkan berasaskan transformasi menyeluruh KKDW yang menekankan evolusi organisasi, penggunaan teknologi, pemikiran korporat serta budaya kerja berteraskan pencapaian hasil atau outcome.

“Fokus kita jelas iaitu memastikan setiap perancangan yang dirangka mampu menghasilkan perubahan sebenar dalam kehidupan masyarakat luar bandar,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, permukiman tersebut turut menekan kepentingan peranan syarikat milikan agensi sebagai pemacu ekonomi desa yang mampan dan berdaya saing.
“Setiap kejayaan yang dicapai perlu disertai dengan pertanggungjawaban berteraskan syariah serta tanggungjawab sosial supaya keuntungan yang dijana memberi keberkatan dan manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, hasil permukiman itu akan menjadi asas pembinaan legasi pembangunan desa yang lebih kukuh pada masa depan selain menetapkan penanda aras baharu dalam tadbir urus luar bandar.
“Kita mahu memperkukuh ekosistem ekonomi desa serta melahirkan generasi yang lebih berdaya saing melalui pendidikan, pembangunan kemahiran dan keusahawanan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada kepimpinan kementerian, agensi, syarikat milikan agensi, sekretariat serta Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) selaku tuan rumah yang menjayakan permukiman berkenaan.
Beliau optimis segala perancangan yang dirumuskan akan diterjemahkan kepada pelaksanaan berimpak tinggi bagi memperkasakan masyarakat desa serta memastikan pembangunan negara yang lebih seimbang dan inklusif.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








