BERITA SEMASAPOLITIK

UMNO perlu jadi pelopor Akta Pendanaan Politik – Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR  – UMNO perlu tampil sebagai pelopor bagi memastikan Akta Pendanaan Politik dapat diwujudkan dengan segera demi membina sistem politik negara yang lebih adil, telus dan matang, kata Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata, penggubalan akta berkenaan memerlukan iltizam politik yang tinggi dan progresif, selari dengan hasrat parti untuk memperkukuh demokrasi serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem politik negara.

“Dengan adanya akta ini, setiap sen yang diterima akan direkodkan dengan jelas, setiap sumbangan didedahkan secara telus dan identiti penderma diketahui. Ini sekali gus menutup ruang fitnah dan tohmahan,” katanya.

Dr. Noraini yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, Akta Pendanaan Politik bukan sahaja melindungi UMNO, malah menjadi benteng penting dalam memelihara demokrasi Malaysia.

“Ada pihak yang mungkin takut dengan akta ini kerana bimbang terdedah atau terbongkar rahsia mereka. Tetapi bukan UMNO. UMNO ialah parti perjuangan dan parti yang berani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Parit Sulong itu, UMNO yang telah lebih tujuh dekad mempertahankan maruah bangsa dan negara tidak akan tunduk kepada ketakutan atau keraguan dalam memperjuangkan prinsip integriti.

Menurut beliau, Akta Pendanaan Politik bukan sekadar satu peruntukan undang-undang, sebaliknya lambang kepada pembentukan politik baharu di Malaysia.

“Ia melambangkan politik yang bersih, telus dan mengutamakan kepentingan rakyat. Inilah warisan yang mahu kita tinggalkan kepada anak cucu, bukan warisan fitnah, syak wasangka dan tuduh-menuduh,” katanya.

Beliau menegaskan, UMNO perlu memimpin usaha ke arah politik yang berintegriti dan bermaruah, sekali gus menjadi contoh kepada parti-parti lain dalam landskap politik negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button