BERITA SEMASA

Dokumen Pendaftaran Pelarian bukan ‘lesen’ kekal di Malaysia

PUTRAJAYA – Dokumen Pendaftaran Pelarian tidak membenarkan pelarian untuk menetap secara kekal di Malaysia atau melayakkan mereka memperoleh kewarganegaraan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebarang kebenaran bekerja bagi pemegang dokumen tersebut adalah bersifat sementara serta tertakluk kepada syarat dan kawalan ketat pihak kerajaan.

“Matlamatnya tetap sama, iaitu mereka mesti meninggalkan Malaysia menerusi saluran yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Beliau menjelaskan, dokumen berkenaan merupakan instrumen kawalan dan pengurusan pelarian bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti identiti mereka, mengetahui keberadaan mereka serta menentukan sama ada mereka wajar dihantar pulang ke negara asal, ditempatkan semula ke negara ketiga atau diusir keluar.

Mengenai isu pelarian Myanmar, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya dan Kementerian Luar Negeri akan meneruskan rundingan dengan negara berkenaan berhubung penghantaran pulang kumpulan pelarian seterusnya, susulan keputusan mahkamah menolak permohonan Majlis Peguam Malaysia untuk menangguhkan proses berkenaan.

“Matlamat kerajaan adalah untuk menyelesaikan isu legasi pelarian di Malaysia dan Dokumen Pendaftaran Pelarian ini bukan untuk mengekalkan pelarian di negara ini,” katanya.

Semalam, Saifuddin berkata pelarian yang memegang kad berkenaan akan diberikan akses bersyarat kepada pasaran pekerjaan formal sebagai alternatif kepada pengambilan pekerja asing baharu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button