BERITA SEMASA

Misi bawa pulang 123 rakyat Malaysia lancar

SEPANG – Misi membawa pulang 123 rakyat Malaysia dari Bangladesh menerusi penerbangan khas berjalan lancar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Wisma Putra serta Suruhanjaya Tinggi Malaysia mendapat kerjasama baik daripada kerajaan Bangladesh dan pihak berkuasa tempatan negara itu.

“Kerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Luar Bangladesh dan semua agensi berkaitan atas kerjasama mereka.

“Operasi ini berjalan lancar dengan kerjasama hubungan kerajaan kepada kerajaan (G2G) agensi dan semua pihak terlibat.

“Buktinya mereka (rakyat Malaysia) selamat sampai,” katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.

Daripada 123 yang tiba hari ini, 80 daripadanya merupakan kumpulan pelajar yang menuntut di institusi pendidikan tinggi (IPT) negara tersebut.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, sebelum ini terdapat 19 pelajar telah pulang terlebih dahulu, dengan bantuan Wisma Putra.

Ketika ditanya mengenai kumpulan rakyat Malaysia yang masih berada di negara berkenaan, Saifuddin Nasution berkata, golongan yang tinggal merupakan kumpulan pelajar tahun akhir, dan para pekerja yang masih terikat dengan kontrak.

“Antaranya, 10 juruterbang syarikat penerbangan US Bangla. Mereka ini masih terikat dengan kontrak dan tidak dapat meninggalkan negara itu lagi,” kata Saifuddin Nasution.

Kepulangan rakyat Malaysia tadi adalah menggunakan pesawat khas AirAsia AK76 dan selamat mendarat di KLIA2 pada kira-kira pukul 4.56 petang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button