Saifuddin nafi JPN sengaja lengah proses MyKad remaja 17 tahun
ALOR SETAR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sengaja melengah-lengahkan pelaksanaan perintah mahkamah dalam kes permohonan MyKad melibatkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.
Beliau berkata, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 8 Disember lalu dan JPN akan tetap melaksanakan perintah mahkamah bagi memastikan remaja terbabit memperoleh kewarganegaraan.
“JPN akan memulakan proses dengan mengeluarkan sijil kelahiran secara pendaftaran lewat memandangkan usia remaja itu sudah 17 tahun, selaras dengan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.
“Langkah ini penting untuk membetulkan semula proses pendaftaran kerana sebelum ini maklumat kelahiran diperoleh daripada pusat kelahiran yang telah diambil tindakan oleh JPN,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Tahun 2026 di Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, siasatan mendapati maklumat kelahiran remaja terbabit diperoleh daripada sebuah hospital swasta yang berada dalam senarai hitam JPN kerana disyaki terbabit dalam sindiket penipuan dokumen.
“Ibu bapa kepada remaja itu sendiri mengakui sijil kelahiran anak mereka diperoleh secara tidak sah ketika masih bayi,” katanya lagi
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak timbul isu untuk memberikan kewarganegaraan kepada remaja terbabit kerana mengikut Perkara 14(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, bayi yang tidak diketahui kelahirannya dianggap sebagai warganegara.
Tambah beliau, sejak menerajui Kementerian Dalam Negeri, jumlah kes kewarganegaraan tertunggak berjaya dikurangkan daripada kira-kira 50,000 kepada kurang 4,000 dalam tempoh tiga tahun.
Dalam pada itu, JPN dalam satu kenyataan semalam berkata, tiada keingkaran terhadap perintah Mahkamah Tinggi berlaku dalam kes tersebut dan semua tindakan sedang dilaksanakan secara teratur mengikut peruntukan undang-undang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








