Sukar cari lokasi pertemuan, Iqram bangunkan Jompa
KUALA LUMPUR – Kesukaran menentukan lokasi pertemuan ketika merancang untuk berjumpa rakan mendorong seorang pegawai teknologi maklumat, Iqram Zain membangunkan aplikasi digital dikenali sebagai Jompa.
Iqram yang merupakan Ketua Pegawai Maklumat (CIO) berkata, idea itu tercetus selepas mendapati urusan menentukan lokasi sering menjadi cabaran meskipun kedua-dua pihak bersetuju untuk bertemu.
Menurutnya, ada individu sanggup melakukan perjalanan jauh hanya kerana mereka tidak bertanya lokasi kediaman masing-masing sebelum menentukan tempat pertemuan.
Beliau berkongsi pengalaman apabila seseorang terpaksa datang dari Petaling Jaya ke Cyberjaya semata-mata kerana kedua-dua pihak tidak mahu bertanya lokasi masing-masing.
“Kadangkala, mengatur pertemuan lebih sukar berbanding pertemuan itu sendiri.
“Berapa banyak perbualan ‘jom minum teh tarik’ yang akhirnya tidak menjadi kenyataan? Bukan kerana tiada siapa mahu berjumpa, tetapi kerana tiada siapa dapat menentukan lokasi,” katanya dalam satu hantaran di LinkedIn hari ini.
Jelasnya, perkara semudah menentukan lokasi boleh menyebabkan perbualan berlarutan sehingga puluhan mesej dihantar menerusi WhatsApp, beberapa cadangan dikemukakan dan mengambil masa berhari-hari sebelum rancangan itu akhirnya dilupakan.
Bagi mengatasi masalah berkenaan, Jompa dibangunkan sebagai platform yang membolehkan pengguna berkongsi pautan jemputan untuk menentukan kawasan pertemuan berdasarkan lokasi setiap individu.
Melalui aplikasi itu, pengguna boleh mengenal pasti kawasan pertemuan yang bersesuaian sebelum berbincang dan memilih lokasi bersama-sama, sekali gus mengurangkan proses berbalas mesej serta ketidakpastian ketika merancang pertemuan.
Iqram berkata, idea yang bermula sebagai penyelesaian kepada masalah harian itu kini berkembang menjadi produk digital yang boleh digunakan menerusi laman web, peranti Android dan iOS, dengan kecerdasan buatan (AI) memainkan peranan penting dalam pembangunannya.
Beliau mengakui aplikasi itu masih di peringkat awal dan mempunyai ruang untuk penambahbaikan, namun berharap Jompa dapat membantu lebih ramai individu merealisasikan rancangan pertemuan yang sebelum ini hanya tinggal sebagai perbualan.
Aplikasi Jompa boleh dicuba menerusi laman web rasminya di www.jompa.je dan turut tersedia di Apple App Store serta Google Play.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








