RPTM 2026-2035: MPPK tekan penglibatan aktif mahasiswa, pastikan selari keperluan akar umbi
PUTRAJAYA – Kefahaman yang jelas serta penglibatan aktif mahasiswa amat penting bagi memastikan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 benar-benar selari dengan keperluan sebenar di peringkat akar umbi seluruh negara.
Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Haykal Halid berkata, RPTM 2026–2035 merupakan dokumen strategik yang memberi kesan langsung kepada mahasiswa, institusi pendidikan tinggi serta kebolehpasaran graduan untuk tempoh satu dekad akan datang.
“MPPK melihat RPTM ini sebagai pelan hala tuju yang sangat penting. Justeru, suara dan pandangan mahasiswa perlu didengari supaya pelaksanaannya nanti tidak terpisah daripada realiti sebenar yang dihadapi pelajar,” katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, di sini hari ini.
Menurut beliau, MPPK yang dianggotai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan kesatuan mahasiswa daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA), swasta (IPTS), politeknik serta kolej komuniti akan meneliti secara menyeluruh kandungan RPTM yang baru dilancarkan kerajaan semalam.
Sehubungan itu, MPPK mengambil langkah proaktif memohon pertemuan bersama Menteri Pendidikan Tinggi bagi menyampaikan pandangan, cadangan serta keprihatinan mahasiswa berkaitan pelaksanaan rancangan tersebut.
“Hasil pertemuan ini, Yang Berhormat Menteri bersetuju untuk mengadakan satu sesi khas bersama perwakilan mahasiswa dari seluruh Malaysia bagi memperjelaskan kandungan RPTM, hala tuju pelaksanaan serta membuka ruang kepada mahasiswa menyuarakan pandangan secara langsung kepada kementerian,” katanya.
Mengulas dapatan awal mahasiswa berhubung RPTM, Muhammad Haykal berkata, pihaknya masih belum dapat memperincikan sebarang pandangan atau bantahan kerana pelan itu baru sahaja dilancarkan.
Bagaimanapun, beliau yakin sesi libat urus khas yang dicadangkan akan menjadi platform penting untuk interaksi dua hala antara badan-badan pelajar dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Peluncuran baru semalam, hari ini kami cadangkan sesi khas dan hari ini juga kami diterima untuk bertemu. Ini satu komitmen yang sangat baik daripada YBM,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan MPPK kekal terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam KPT termasuk mana-mana bahagian atau pegawai kementerian bagi membincangkan isu berkaitan RPTM dan kebajikan mahasiswa.
MPPK turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi atas kesediaan mendengar aspirasi mahasiswa serta kepada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) atas sokongan berterusan dalam menjayakan agenda libat urus pelajar.
“Sebagai badan rasmi yang mewakili suara mahasiswa, MPPK akan terus memainkan peranan sebagai jambatan antara mahasiswa dan pembuat dasar demi memastikan pendidikan tinggi negara berkembang secara inklusif, progresif dan berteraskan suara mahasiswa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








