AI kini keperluan, bukan pilihan dalam pendidikan tinggi – Setiausaha Agung ASEAN
PUTRAJAYA – Dunia pendidikan tinggi kini memasuki era baharu apabila kecerdasan buatan (AI) bukan lagi dianggap sebagai pilihan, sebaliknya menjadi satu keperluan penting dalam memperkukuh sistem pembelajaran masa kini.
Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn berkata, teknologi AI mampu dimanfaatkan bagi menjana inovasi dalam pembelajaran, meningkatkan kecekapan pentadbiran serta memperkukuh penyelidikan berimpak tinggi di peringkat universiti dan institusi pendidikan tinggi.
“AI bukan lagi masa depan yang jauh. Ia sudah hadir dan sedang mengubah setiap aspek kehidupan kita termasuk bidang pendidikan.
“Kini, kita memikul tanggungjawab berganda untuk memanfaatkan kekuatannya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2025, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Putrajaya FOI 2025 yang bertemakan MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea itu meliputi agenda merakyatkan ilmu dan pendidikan tinggi, serta mempromosikan Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi global.
Menurut beliau, universiti perlu berada di barisan hadapan dalam membangunkan rangka kerja tadbir urus AI yang berteraskan pendekatan ASEAN agar penggunaannya dapat diimbangi dengan nilai kemanusiaan dan etika serantau.
Tambah Dr Kao, pelajar bukan sahaja perlu diajar cara menggunakan AI, tetapi turut didedahkan dengan pemahaman mendalam mengenai implikasi sosial teknologi itu supaya ia berkhidmat untuk kesejahteraan manusia.
“Sebagai permulaan, kita beruntung mempunyai program seperti AI Ready ASEAN, iaitu inisiatif digital utama oleh Yayasan ASEAN.
“Program ini menerima sumbangan sebanyak AS$5 juta daripada Google.org, dengan matlamat meningkatkan literasi AI secara menyeluruh di semua negara anggota ASEAN,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








