JC-ESTC lonjak kerjasama pendidikan tinggi Rusia-Malaysia
LANGKAWI – Hubungan dua hala Malaysia dan Rusia terus diperkukuh apabila kedua-dua negara mencapai pelbagai persetujuan baharu dalam bidang pendidikan tinggi, sains, teknologi dan ekonomi menerusi The 4th Joint Russia-Malaysia Commission for Economic, Scientific, Technological and Cultural Cooperation (JC-ESTC).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia dan Rusia bersetuju memperluas kerjasama meliputi 17 bidang utama termasuk pendidikan tinggi, tenaga, pelancongan, perdagangan, ekonomi halal dan pembangunan hijau.
“Kedua-dua negara bersetuju mempercepatkan usaha ke arah pemansuhan separa visa bagi memudahkan urusan perjalanan serta pertukaran rakyat ke rakyat.
“Selain itu, kedua-dua pihak turut memberi keutamaan kepada penyambungan semula perkhidmatan penerbangan terus, yang diharap akan turut memberi manfaat kepada Langkawi,” katanya dalam ucapan beliau.
Terdahulu, JC-ESTC yang telah diadakan buat kali keempat itu dipengerusikan bersama oleh Dr. Zambry dan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, TYT Valery Falkov, dengan kehadiran lebih 130 delegasi Rusia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini.
Zambry memaklumkan, Rusia telah menawarkan 40 kuota biasiswa tahunan kepada pelajar Malaysia sebagai usaha memperkukuh mobiliti akademik dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Katanya, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pusat penyelidikan Malaysia juga akan memperluas kerjasama dengan universiti-universiti Rusia dalam bidang teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI), sains data dan pengaturcaraan, selaras dengan agenda transformasi digital negara.
Selain pendidikan, kedua-dua negara turut menzahirkan komitmen dalam bidang tenaga, termasuk mempercepat pemeteraian perjanjian penggunaan tenaga nuklear secara aman menjelang suku pertama 2026 serta meneroka peluang teknologi loji kuasa nuklear berasaskan darat dan terapung.
Rusia turut menyatakan kesediaan membekalkan gas asli cecair (LNG) dan gas petroleum cecair (LPG) kepada Malaysia bagi memastikan keselamatan tenaga jangka panjang.
Dalam aspek kelestarian, Zambry berkata, Malaysia dan Rusia bersetuju meneroka kerjasama dalam pembiayaan hijau, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hidrogen, selain berkongsi kepakaran dalam sistem pengurusan sisa moden untuk menyokong aspirasi kemampanan negara.
Sementara itu, Valery Falkov dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas sambutan mesra kerajaan Malaysia serta menegaskan komitmen Rusia untuk terus memperkukuh hubungan ekonomi dan pendidikan.
“Nilai dagangan antara Rusia dan Malaysia meningkat sebanyak 32 peratus sejak awal tahun ini, manakala sektor pelancongan turut mencatat pertumbuhan 76 peratus dalam tempoh lapan bulan pertama 2025.
“Kami juga berbangga kerana kerjasama dalam bidang pendidikan dan sains semakin berkembang, termasuk penganjuran Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Rusia pertama yang telah menghasilkan pelbagai perjanjian baharu antara universiti kedua-dua negara,” katanya.
JC-ESTC yang ditubuhkan sejak 2015 menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Rusia dalam bidang ekonomi, sains, teknikal dan kebudayaan.
Edisi kali ini turut memperlihatkan penganjuran tiga acara utama secara serentak, iaitu Persidangan Meja Bulat Malaysia-Rusia, Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Dialog Mineral dan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Rusia 2025.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataannya memaklumkan, pelbagai inisiatif baharu dibentangkan sepanjang mesyuarat itu termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan pendidikan, pelancongan, pertanian, pertahanan dan ekonomi halal.
Malaysia dijadual menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat JC-ESTC kelima di Rusia tahun depan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh kerjasama dua hala ke tahap lebih tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








