133,159 graduan kelas pertama dikecualikan bayar PTPTN
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan seramai 133,159 graduan yang memperoleh ijazah kelas pertama telah dikecualikan daripada membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, jumlah pengecualian itu melibatkan kos RM2.9 bilion.
“Inisiatif ini merupakan insentif kepada peminjam yang berjaya memperoleh ijazah kelas pertama. Mereka akan diberi pengecualian bayaran balik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Baca juga : 400,000 peminjam PTPTN dikesan tidak pernah bayar balik pinjaman
Beliau berkata, kemudahan permohonan pengecualian melalui portal dalam talian PTPTN akan dibuka semula bermula 1 September ini.
“Pemohon yang layak boleh membuat rayuan selepas itu,” katanya menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin mendapatkan kepastian berhubung status pengecualian pinjaman bagi graduan kelas pertama.
Dalam perkembangan lain, Mustapha berkata, tiada keputusan lagi dibuat berhubung pelaksanaan semula larangan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam ingkar.
Menurutnya, PTPTN sedia membantu peminjam menyusun semula bayaran atau menangguhkannya sekiranya masih belum memperoleh pekerjaan atau sedang melanjutkan pelajaran.
“Kita turut mengeluarkan peringatan dan notis kepada peminjam supaya pembayaran dapat dilakukan,” katanya.
Sehingga Julai lalu, PTPTN telah meluluskan pinjaman kepada 3.1 juta peminjam daripada golongan berpendapatan rendah dengan jumlah keseluruhan RM59.44 bilion.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














