BERITA SEMASA

70,240 individu melalui transisi kerjaya, hampir 16,000 sudah dapat kerja baharu – Ramanan

KUALA LUMPUR – Seramai 70,240 individu direkodkan berada dalam proses transisi kerjaya bagi tempoh Januari hingga 25 September tahun ini, dengan 15,980 daripadanya berjaya mendapat pekerjaan baharu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sebanyak 34,800 individu atau 49.54 peratus daripada jumlah berkenaan merupakan mereka yang mempunyai kelayakan diploma dan ke atas.

“Sektor pembuatan merekodkan jumlah transisi kerjaya tertinggi iaitu seramai 13,052 pekerja atau 18.58 peratus.

“Ini diikuti sektor perdagangan borong dan runcit dengan seramai 12,910 pekerja (18.38 peratus), manakala sektor pembinaan pula 7,215 orang (10.27 peratus),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai jumlah terkini kehilangan pekerjaan tahun ini, termasuk sektor yang paling terjejas serta keberkesanan portal MyFutureJobs dalam membantu menempatkan semula pekerja mahir yang diberhentikan susulan penutupan atau pengecilan operasi syarikat.

Ramanan berkata, daripada keseluruhan individu yang berada dalam proses transisi kerjaya itu, 15,980 pekerja atau 22.75 peratus berjaya ditempatkan semula dalam pekerjaan.

Daripada jumlah berkenaan, katanya, 7,725 merupakan pekerja mahir yang mempunyai kelayakan diploma dan ke atas, dengan kadar penempatan semula sebanyak 48.34 peratus.

“Pihak kementerian dan PERKESO mengambil langkah proaktif dalam memastikan pekerja dalam transisi kerjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh singkat.

“Secara purata, tempoh penempatan semula pekerjaan adalah sekitar tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata, antara langkah yang disediakan sebagai galakan kepada pekerja ialah Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), yang sebelum ini dibayar pada kadar 25 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) yang masih belum dibayar secara bayaran pukal.

Bagaimanapun, katanya, kadar bayaran berkenaan dinaikkan daripada 25 peratus kepada 50 peratus bermula 1 Oktober 2026 selaras dengan Pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan dan Perkhidmatan Pekerjaan 2026.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button