75 peratus kes HIV direkod tahun lalu babitkan golongan belia
KUALA LUMPUR – Lebih 3,000 kes HIV direkodkan tahun lalu dengan majoritinya melibatkan golongan belia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, golongan belia berumur antara 20 hingga 39 tahun menjadi penyumbang utama kepada angka berkenaan iaitu sebanyak 75 peratus.
“Jangkitan baharu HIV/AIDS di Malaysia secara amnya telah mencatatkan penurunan sebanyak 50 peratus antara 2000 dan 2009. Namun, mulai 2010 sehingga kini, kadar penurunan semakin perlahanan iaitu hanya 27 peratus.
“Pada 2024, sebanyak 3,185 kes HIV baharu dilaporkan dengan kadar notifikasi 9.4 bagi setiap 100,000 penduduk. Majoritinya adalah dalam kalangan lelaki iaitu 90 peratus berbanding wanita 10 peratus.
“Trend ini menunjukkan peningkatan berbanding 90an di mana wanita hanya satu peratus dan lelaki pula 99 peratus,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, semalam.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang meminta penjelasan berhubung keadaan semasa jangkitan HIV dalam negara, termasuk jumlah pesakit mengikut kategori kumpulan umur, jantina dan punca utama jangkitan.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata jangkitan HIV di negara ini juga menunjukkan perubahan landskap mod jangkitan ketara.
Katanya, trend jangkitan itu berpunca daripada perkongsian jarum suntikan dadah kepada jangkitan melalui transmisi seksual.
“Terkini, punca jangkitan HIV adalah melalui seksual iaitu 96 peratus pada tahun lalu, di mana 32 peratus jangkitan adalah secara heteroseksual dan 64 peratus homoseksual/biseksual,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








