KKM perkukuh perkhidmatan rehabilitasi hadapi status negara tua 2036
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) terus memperkukuh perkhidmatan rehabilitasi serta penggunaan alatan berteknologi tinggi bagi menjaga kesihatan warga emas berusia 60 tahun ke atas, sejajar dengan jangkaan Malaysia mencapai status negara tua pada 2036 apabila populasi golongan itu melebihi 15 peratus.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM komited untuk melengkapkan perkhidmatan rehabilitasi di klinik kesihatan dan hospital kerajaan dengan peralatan berteknologi tinggi secara berperingkat bagi menyediakan rawatan pemulihan yang optimum dan berkesan.
Katanya, penggunaan teknologi terkini sentiasa dipantau, dinilai dan dipilih mengikut kesesuaian dan keperluan pesakit.
“KKM menyedari hakikat Malaysia dijangka mencapai status negara tua pada 2036 dengan populasi penduduk warga emas melebihi 15 peratus.
“Pertambahan ini berserta peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang akan memberi implikasi perbelanjaan tinggi serta memerlukan perancangan kesihatan yang holistik.
“Justeru, KKM giat mempertingkat dan memperkasa perkhidmatan rehabilitasi di semua peringkat termasuk kesihatan primer, secondary, tertiary dan komuniti,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Dzulkefly menjawab soalan Datuk Lo Si Fui (GRS-Tawau) yang meminta beliau menyatakan inisiatif kerajaan dalam membantu menjaga kesihatan warga emas 60 tahun ke atas seperti penyediaan pusat rehabilitasi dan peralatan berteknologi tinggi bagi memastikan penjagaan kesihatan lebih berkesan.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, perkhidmatan rawatan rehabilitasi asas yang disediakan di 1,103 klinik kesihatan di seluruh negara adalah percuma untuk warganegara.
Rawatan tersebut katanya, merangkumi pengesanan awal risiko ketidakfungsian, termasuk penilaian status fizikal dan tahap kognitif serta pengenalpastian awal Sindrom Geriatrik seperti kelemahan otot dan masalah keseimbangan.
Jelas beliau, warga emas yang berisiko akan diberi intervensi seperti latihan senaman terapeutik, pendidikan penjagaan diri, penggunaan alat bantuan pergerakan, program pencegahan kecederaan dan jatuh serta program pendidikan penjaga (caregivers training).
“Sehingga kini, perkhidmatan diberikan oleh 1,053 pegawai atau juru pulih pemulihan perubatan (603 Fisioterapi, 446 Cara Kerja dan empat pertuturan).
“Bagi menangani kes yang lebih kompleks dan memerlukan rawatan pakar, pesakit dirujuk ke hospital KKM.
“Bagi pesakit warga emas yang memerlukan intervensi khusus dan lanjutan, program khusus seperti Program Warga Emas, Program Kontinum Rehabilitasi Strok, Program Rehabilitasi Jantung dan Program Rehabilitasi Paru-paru juga disediakan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








