Ops Tempat Makan: KKM keluarkan 214 notis kesalahan, anggaran kompaun RM54,050
CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan sebanyak 214 notis kesalahan dengan anggaran kompaun bernilai RM54,050 sepanjang Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 sepanjang dua hari Ops Tempat Makan diadakan sejak kelmarin.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, kesemua kompaun berkenaan dikeluarkan di bawah Seksyen 32(b) Akta Makanan 1983, dengan 110 notis dikeluarkan bagi kesalahan merokok di premis makan, 48 di kawasan kompleks membeli belah dan 20 di kawasan lapangan terbang.
Katanya, 29 notis kesalahan turut dikeluarkan kepada pemilik premis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan lima notis kerana gagal memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing.
“Satu notis dikeluarkan atas kesalahan merokok oleh orang belum dewasa dan satu notis kerana gagal mempamerkan tanda larangan menjual hasil tembakau kepada orang belum dewasa,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan, di sini semalam.
Katanya lagi, sebanyak 16,046 operasi di bawah PPKHT 2004 dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun lepas manakala 1,568 operasi dijalankan tahun ini sejak Januari.
Tambahnya, setakat tahun ini, lima negeri paling tinggi mencatatkan notis kesalahan merokok di premis makan adalah Selangor iaitu 750 notis, Johor (743), Pulau Pinang (595), Sarawak (586) diikuti Pahang dengan 519 notis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








