Kad kesihatan bahasa Cina: KKM jelaskan berlaku kesilapan tidak disengajakan
KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) menjelaskan isu penggunaan Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi berbahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak yang tular di media sosial merupakan satu kesilapan yang tidak disengajakan.
Menurutnya dalam satu kenyataan, siasatan mendapati insiden tersebut berlaku pada 18 Mei lalu melibatkan seorang pesakit kanak-kanak yang mendapatkan rawatan bagi kes disyaki demam denggi.
Katanya, penggunaan rekod pemantauan pesakit secara rasmi adalah dalam Bahasa Melayu namun, pihak klinik turut menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa lain bagi membantu komunikasi dan pemantauan pesakit di kawasan berkepadatan tinggi dengan kes denggi.
“Dalam kes ini, telah berlaku kesilapan pemberian kad berlainan bahasa kepada penjaga pesakit yang tidak disengajakan,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan berkenaan, penerangan berkaitan rawatan dan pemantauan tetap diberikan oleh pegawai perubatan kepada pesakit dalam Bahasa Melayu termasuk catatan bertulis pada kad tersebut.
Sehubungan itu, JKWPKL&P memaklumkan langkah penambahbaikan segera telah diambil bagi memastikan pemberian kad pemantauan dibuat dengan lebih teliti dan bersesuaian.
Pada masa sama, jabatan itu menegaskan komitmen untuk terus mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan penyampaian perkhidmatan kesihatan kerajaan.
JKWPKL&P turut memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku dan menegaskan komitmen untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat dan mesra rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








