KKM, Roche jalin kerjasama bawa rawatan kanser lebih dekat dengan komuniti
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Roche (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi melaksanakan inisiatif Cancer Care Closer to Community (CCC) yang bertujuan memperluas akses rawatan kanser kepada rakyat di seluruh negara hari ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerjasama strategik itu menandakan komitmen bersama dalam merombak penyampaian rawatan kanser supaya lebih mudah dicapai, saksama dan mampan.
“Kanser kekal sebagai antara penyebab utama kematian di Malaysia, dengan lebih 60 peratus kes dikesan pada peringkat lewat iaitu tahap 3 dan 4.
“Statistik ini bukan sekadar angka, tetapi menggambarkan penderitaan keluarga, tekanan kewangan dan beban besar kepada sistem kesihatan negara,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU tersebut di Ibu Pejabat KKM, di sini hari ini.
Menurut beliau, rawatan kanser yang terlalu tertumpu di hospital besar tidak lagi memadai, justeru inisiatif CCC akan melengkapkan Program Kawalan Kanser Kebangsaan (NCCP) yang menekankan pencegahan, pengesanan awal dan rawatan tepat pada masanya.
Dr. Dzulkefly berkata inisiatif itu memberi tumpuan kepada pesakit di Sabah dan Sarawak yang sebelum ini terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan perkhidmatan onkologi.
“Selain pembinaan Pusat Kanser Sarawak, inisiatif CCC akan memastikan rawatan tidak lagi hanya berpusat di hospital besar tetapi juga dibawa lebih dekat dengan komuniti. Infrastruktur dan rawatan berasaskan komuniti mesti bergerak seiring supaya setiap rakyat mendapat peluang rawatan yang adil,” katanya lagi.
Melalui MoU berkenaan, KKM dan Roche akan membangunkan model penyampaian CCC yang boleh disesuaikan mengikut keperluan setempat, melatih jururawat onkologi melalui program Train-the-Trainer, serta memperkukuh sokongan pembelajaran digital dan pemantauan berterusan.
“Pelaksanaan rintis di Sabah telah membuktikan apabila rawatan dibawa lebih dekat, manfaatnya dapat dirasai serta-merta. Dengan MoU ini, kejayaan tersebut boleh diperluas ke seluruh negara,” katanya lagi
Dr. Dzulkefly turut berkata, Malaysia kini berada di landasan kukuh dalam bidang perubatan tepat (precision medicine) dan penyelidikan klinikal onkologi, dan inisiatif CCC akan memastikan inovasi kesihatan terus sampai ke akar umbi masyarakat.
“Inisiatif ini selari dengan seruan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk perkhidmatan kesihatan bersepadu yang berpusatkan rakyat. Malaysia komited memperkukuh kawalan kanser sebagai sebahagian daripada tindak balas terhadap penyakit tidak berjangkit, dengan memastikan tiada siapa yang tercicir,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Roche Malaysia atas sokongan berterusan dalam memperkukuh usaha melawan kanser di negara ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








