
Wabak batuk kokol meningkat, namun masih terkawal – Dr Zaliha
PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa hari ini memaklumkan bahawa wabak kes batuk kokol (pertussis) yang melanda negara ketika ini menunjukkan peningkatan, namun masih terkawal.
Menurut Dr Zaliha, ibu bapa digalakkan untuk membawa anak mereka yang masih bayi bagi menjalani pemeriksaan susulan penyakit tersebut senang menjangkiti bayi yang berusia lima bulan dan ke bawah.
“Kalau kita tengok trend memang ada peningkatan, cumanya butir lanjut akan diberikan kemudian dan ia masih terkawal
“Kita memang menggalakkan untuk ibu bapa membawa anak-anak (pemeriksaaan) sebab apa yang kita lihat trend terkini mereka yang dijangkiti batuk kokol ini dalam kalangan bayi lima bulan ke bawah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2023 di Institut Kanser Negara (IKN) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, semua ibu hamil di Malaysia, termasuk bukan warganegara, akan diberikan vaksin kombinasi tetanus-difteria-pertussis (Tdap) secara percuma, mulai tahun depan.
Katanya, inisiatif tersebut membabitkan peruntukan tahunan sebanyak RM25 juta bagi meliputi anggaran 500,000 ibu hamil, setiap tahun.
“Baru-baru kita ada meluluskan satu inisiatif baharu dengan perbelanjaan sebanyak RM25 juta untuk vaskin Tdap dan vaksin ini kita akan berikan kepada ibu hamil untuk memastikan anak-anak selepas lahir akan terlindung daripada penyakit tersebut,” ujarnya lagi.
Pertussis adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan bakteria Bordetella pertussis dengan kuman disebarkan melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk dan menjangkiti mulut, hidung dan tekak.
Gejala lazim pertussis adalah batuk berpanjangan dalam tempoh satu hingga dua minggu dan boleh berlarutan sehingga dua bulan.
Komplikasi teruk seperti pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak) dan kematian juga boleh berlaku jika tidak mendapat rawatan awal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








