Isu salah guna vape: KKM tubuh jawatankuasa khas
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti isu penyalahgunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar.
Tindakan itu dilakukan susulan laporan mengenai penggunaan vape dalam kalangan remaja bawah umur termasuk satu kes kematian yang didakwa berkaitan dengan penggunaan vape.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau telah mengarahkan satu pasukan khas untuk menilai aspek penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 serta memantau pihak yang terlibat bagi menyokong keputusan berasaskan bukti.
“Kami mengambil maklum beberapa kes yang tular di media sosial, termasuk melibatkan sekumpulan pelajar serta satu insiden kematian yang dikaitkan dengan penggunaan vape.
“Namun begitu, siasatan awal mendapati terdapat komorbiditi lain yang perlu diperjelaskan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Bidan dan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan 2025 di Institut Kanser Negara, di sini hari ini.
Menurutnya lagi jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Ismuni Bohari.
“Penubuhan jawatankuasa ini susulan pelaksanaan sepenuhnya Akta Kawalan Produk Merokok dan Tembakau 2024 (Akta 852) yang telah dikuatkuasakan mulai 1 Oktober tahun lalu,” katanya.
Tegas beliau, kementerian akan terus komited dalam menangani isu vape secara menyeluruh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








