Batu Muda catat IPU tertinggi, 29 kawasan tidak sihat
KUALA LUMPUR – Sebanyak 29 kawasan di seluruh negara merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pagi Selasa, dengan Batu Muda, Kuala Lumpur mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 172.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (MyEQMS), Johan Setia, Selangor merekodkan bacaan kedua tertinggi iaitu 170, diikuti Nilai, Negeri Sembilan (164) dan Bukit Rambai, Melaka (162).
Putrajaya turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat pada paras 160, diikuti Larkin, Johor (157), Paka, Terengganu dan Tasek Ipoh, Perak masing-masing 155, serta Balok Baru, Kuantan, Pahang (153).
Selain itu, beberapa kawasan lain turut merekodkan bacaan tidak sihat, termasuk lokasi di Lembah Klang dan kawasan sekitarnya, sekali gus menunjukkan keadaan kualiti udara yang membimbangkan di beberapa negeri.
Sementara itu, Sri Aman, Sarawak mencatatkan bacaan IPU 92, diikuti Sungai Petani, Kedah (90), Seberang Jaya, Pulau Pinang (88), Tawau, Sabah (80), Kota Bharu, Kelantan (64) dan Kangar, Perlis (56), yang semuanya berada pada tahap sederhana.
Labuan pula mencatatkan bacaan IPU 48, sekali gus berada pada tahap kualiti udara baik.
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







