JENAYAH & MAHKAMAH

Polis tumpas empat kumpulan terlibat samun dan curi kabel ECRL, TM

KUANTAN – Polis menahan 17 lelaki tempatan dan menumpaskan empat kumpulan disyaki terbabit dalam kegiatan samun serta mencuri kabel milik Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam beberapa operasi di Temerloh dan Mentakab.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Nasyim Bahron berkata, operasi yang dijalankan dari 12 Oktober hingga Isnin itu berjaya menyelesaikan beberapa kes samun stor simpanan kabel ECRL dan kecurian kabel TM yang dilaporkan sejak September lalu.

Menurutnya, dua kes samun stor kabel ECRL dan lima kes kecurian kabel TM dilaporkan di sekitar Temerloh, Mentakab dan Lanchang sepanjang September hingga Oktober tahun ini, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM75,000.

Beliau berkata, kumpulan pertama, dikenali sebagai ‘Geng Ravi’, ditumpaskan menerusi operasi dari 12 hingga 15 Oktober.

“Siasatan mendapati kumpulan itu dipercayai turut terlibat dalam beberapa kes kecurian besi dan kabel di tapak projek serta kilang yang telah lama ditinggalkan pemiliknya sejak Julai tahun ini, selain mengesan dua lagi suspek yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada 14 Oktober, polis turut menumpaskan ‘Geng Kepala’ yang dipercayai terbabit dalam beberapa kes kecurian kabel TNB di stor simpanan, kilang dan tepi jalan sekitar Mentakab sejak Ogos lalu.

Dalam operasi berasingan, seorang lelaki berusia 28 tahun dipercayai anggota ‘Geng Dany’ ditahan di Mentakab semalam kerana disyaki mencuri kabel TM.

“Kumpulan itu juga dipercayai pernah aktif menjalankan kegiatan sama di sekitar Kuala Lumpur.

“Siasatan mendapati suspek mengaku terbabit dalam beberapa kes kecurian kabel TM di tepi jalan sekitar Mentakab sejak Oktober tahun ini bersama seorang lagi rakan yang masih bebas,” katanya.

Mohd Nasyim berkata, polis turut menumpaskan ‘Geng Mista’ dalam operasi awal pagi Isnin selepas kumpulan itu dipercayai terbabit dalam beberapa kes kecurian kabel TM dari lubang lurang dan tiang tepi jalan di sekitar Temerloh, Mentakab, Jerantut serta Maran sejak Julai lalu.

“Ketua kumpulan berkenaan turut dikenal pasti sebagai anggota Geng Kepala yang ditahan pada 14 Okt, manakala seorang lagi suspek masih bebas,” katanya.

Dalam operasi berkenaan, polis merampas pelbagai jenis kenderaan termasuk sebuah lori, gelung dan potongan kabel milik ECRL, TNB serta TM, potongan besi tiang dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri serta memproses kabel.

Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 235(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. –

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button