Inspektor polis dipenjara sebulan, denda RM8,000 terima rasuah RM23,000
KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif menerima rasuah berkait kes siasatan dadah empat tahun lalu.
Tertuduh, Khairul Faiz Mohamad Zaini, 37, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Tuan Mohd Azhar Othman.
Mengikut pertuduhan, Khairul Faiz didakwa menerima wang berjumlah RM23,000 daripada seorang individu bernama Mohamad Adam A. Rahman melalui pindahan akaun pihak ketiga sebelum dimasukkan ke akaun isterinya.
Wang itu diterima sebagai balasan untuk melepaskan tiga individu yang ditahan serta membuang dadah jenis syabu daripada laporan tangkapan polis.
Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Terengganu, sekitar pukul 2 pagi pada 26 Februari 2021.
Tertuduh sebelum ini menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 namun selepas mengemukakan representasi, pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Tertuduh yang diwakili peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz (secara pro bono) mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif kedua.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, TPR Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara satu bulan dan denda RM8,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda. Hukuman itu berkuat kuasa serta-merta hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








