MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16 kelak, terdapat satu simbol politik yang tidak boleh dipandang ringan daripada perkembangan UMNO dan PAS kebelakangan ini.
Di mana PAS hadir ke Perhimpunan Agung UMNO, manakala UMNO pula hadir ke Muktamar PAS.
Dalam politik, kehadiran mungkin sekadar protokol. Tetapi apabila dua parti yang pernah bersekutu melalui Muafakat Nasional, kemudian berpecah dan berada di blok politik berbeza, memilih untuk kembali duduk di ruang yang sama, signal politiknya jauh lebih besar daripada sekadar kunjungan hormat.
Ia menunjukkan bahawa pintu kerjasama UMNO-PAS bukan sahaja belum tertutup, malah sedang dibuka semula secara perlahan-lahan.
Berdasarkan Ucapan Dasar Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO boleh disimpulkan bahawa ruang kerjasama dilihat punyai potensi.
Tetapi harus diakui, ia punyai cabaran tertentu apabila UMNO dan PAS berkongsi segmen pengundi yang hampir sama. Isyarat ini menjadi lebih signifikan apabila dibaca bersama perkembangan politik semasa.

Muafakat Nasional yang dibentuk pada 2019 akhirnya tidak bertahan apabila PAS memilih untuk bergerak bersama BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN), manakala UMNO pula kemudiannya menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).
Hubungan yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai pakatan strategik penyatuan Melayu akhirnya bertukar menjadi persaingan sengit.
Kini, kedua-dua parti mempunyai sebab untuk menilai semula hubungan tersebut.
PAS dan UMNO sedar bahawa mereka berkongsi segmen pengundi yang hampir sama, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.
Dalam sistem pilihan raya satu pusingan, pertembungan dua parti yang berebut kelompok pengundi yang sama boleh menyebabkan undi berpecah dan membuka ruang kepada pihak ketiga. Itu yang berlaku pada PRU15 tempoh hari.
Maka, kehadiran PAS di PAU dan UMNO di Muktamar PAS boleh dibaca sebagai satu bentuk pembinaan semula kepercayaan sebelum perbincangan yang lebih substantif mengenai kerjasama pilihan raya.
Di pihak UMNO, Zahid masih berhati-hati dalam membuka ruang kerjasama. PAS pula mengangkat agenda penyatuan ummah dan kerjasama dengan UMNO dalam Muktamar ke-72.
Namun, PAS pada masa sama menegaskan kepentingannya mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU15.
Di sinilah signal kerjasama bertemu dengan realiti tawar-menawar kuasa. Perkembangan di Johor dan Negeri Sembilan menjadikan persoalan ini semakin penting.
Di Johor, BN menang 48 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH memperoleh 8 kerusi. Di Negeri Sembilan pula, BN memenangi 18 kerusi dan PN memenangi 7 kerusi, membolehkan kedua-duanya membentuk kerajaan bersama.
Dua negeri ini memberikan satu pelajaran strategik kepada UMNO dan PAS apabila pertembungan sesama sendiri dapat dikurangkan, peluang untuk menguasai lebih banyak kerusi menjadi lebih besar.
Inilah yang sepatutnya diberi perhatian oleh PH menjelang PRU16.
Jika formula sedemikian diterjemahkan ke peringkat Parlimen, persaingan tiga penjuru yang selama ini wujud di banyak kawasan boleh berubah menjadi pertandingan yang lebih terarah.
Undi yang sebelum ini berpecah antara UMNO dan PAS berpotensi diselaraskan, sekali gus mengubah keputusan di kerusi marginal.
Namun, kerjasama UMNO-PAS juga mempunyai satu paradoks besar di mana siapakah yang sebenarnya lebih memerlukan siapa?
UMNO memerlukan PAS untuk mengelakkan pertembungan dan mendapatkan semula sebahagian sokongan Melayu.
PAS pula memerlukan UMNO untuk memperluaskan capaian di kawasan yang mempunyai sejarah pengaruh UMNO yang lebih kukuh.
Tetapi dari segi kekuatan Parlimen, PAS memasuki rundingan dengan kedudukan yang lebih kuat.
Pada PRU15, PAS memenangi 43 kerusi Parlimen berbanding 26 kerusi UMNO. Secara keseluruhan, PH memenangi 82 kerusi, PN 74 dan BN 30.
Justeru, kerjasama ini tidak semestinya bermakna UMNO kembali menjadi ‘abang besar’ dalam politik Melayu.
Sebaliknya, PAS mungkin mempunyai kuasa tawar-menawar yang lebih besar berbanding ketika Muafakat Nasional dibentuk.
Di sinilah kegusaran terhadap penggabungan atau persefahaman UMNO-PAS perlu dizahirkan secara serius.
Kerjasama dua parti yang berkongsi segmen pengundi sama boleh mengurangkan pembaziran undi, tetapi pada masa sama berpotensi melahirkan blok politik Melayu yang lebih tersusun dan sukar dipecahkan.
Dalam keadaan ini, PH berdepan dilema yang tidak kurang besar.
Persoalannya bukan sekadar bagaimana mempertahankan hubungan dengan rakan-rakan sedia ada, tetapi siapa lagi yang boleh menjadi rakan koalisi yang mampu melengkapkan kekuatan PH di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Kerajaan Perpaduan memberikan pengalaman bahawa kerjasama antara parti yang pernah menjadi pesaing adalah sesuatu yang mungkin berlaku.
Tetapi pilihan raya mempunyai logiknya sendiri. Parti yang boleh bekerjasama di Putrajaya belum tentu bersedia bertolak ansur dalam pembahagian kerusi apabila pilihan raya semakin hampir.
Dilema PH ialah mencari titik keseimbangan antara mengekalkan identiti dan kekuatan terasnya dengan keperluan memperluas jaringan politik.
Jika terlalu bergantung kepada rakan sedia ada, ruangnya mungkin terbatas. Jika terlalu agresif mencari rakan baharu, ia pula boleh menimbulkan persoalan mengenai identiti dan hala tuju gabungan.
Namun, di sinilah pentingnya membezakan antara cabaran dengan ketetapan keputusan.
Peluang PH untuk memenangi PRU16 masih terbuka.
Keputusan PRN Negeri Sembilan sendiri menunjukkan bahawa PH masih mempunyai sokongan yang signifikan, termasuk 11 kerusi dan lebih 40 peratus undi popular negeri.
Kemenangan besar BN di Johor pula tidak semestinya boleh diterjemahkan secara automatik kepada seluruh negara kerana setiap negeri mempunyai struktur pengundi, isu tempatan dan sentimen politik yang berbeza.
Malah, PRU16 masih bergantung kepada banyak pemboleh ubah di mana prestasi kerajaan sehingga pilihan raya, keadaan ekonomi, isu semasa, sentimen pengundi Melayu dan bukan Melayu, keupayaan setiap parti mengurus calon serta pembahagian kerusi dan yang paling penting ialah mood pengundi ketika mereka benar-benar berada di peti undi.
Justeru, terlalu awal untuk menganggap UMNO-PAS sudah membentuk formula kemenangan. Begitu juga terlalu awal untuk menganggap PH telah kehilangan peluang. Yang jelas ialah lanskap pilihan raya sedang berubah.
Jika UMNO dan PAS berjaya menyelesaikan persoalan pembahagian kerusi dan kepimpinan, pertandingan PRU16 mungkin tidak lagi menyerupai konfigurasi PRU15.
Sebaliknya, PH perlu memikirkan semula strategi koalisi dan bagaimana memperluas daya tarikan tanpa kehilangan asas sokongan sedia ada.
Akhirnya, kehadiran PAS di PAU dan UMNO di Muktamar PAS mungkin hanya bermula dengan simbol.
Tetapi dalam politik, simbol sering menjadi pendahulu kepada rundingan.
Zahid juga pernah mengeluarkan kenyataan di mana PH tidak dijemput dalam PAU. Ini juga suatu signal dan simbol yang boleh difikirkan bersama.
Selepas kegagalan Muafakat Nasional, kedua-dua parti mungkin tidak mengulangi formula lama.
Mereka mungkin sedang mencari formula yang lebih pragmatik dimana cukup untuk mengelakkan pertembungan, cukup untuk menyatukan kekuatan tetapi tidak semestinya cukup untuk menjamin siapa yang akan menjadi peneraju.
Nak kata ada success story, belum ada. Jika benar bergabung, konflik akan bermula dengan agihan kerusi dan siapa Perdana Menteri.
Dalam aspek pemilihan Perdana Menteri, ia memerlukan sokongan penuh majoriti oleh Ahli Parlimen dan perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
UMNO dan PAS harus bersetuju perkara ini lebih awal untuk memilih siapakah ‘PM in waiting’ bagi pakatan mereka.
Dan di situlah drama sebenar PRU16 sedang bermula. Namun begitu, memahami politik Melayu, kita tidak boleh mempunyai dua nakhoda dalam satu bahtera.
Satu bahtera untuk satu nak nakhoda sahaja. Maka, siapakah yang akan menjadi nakhoda itu?
Bukan sekadar siapa mampu mengumpulkan undi paling banyak, tetapi siapa mampu membina koalisi yang paling sesuai dengan sentimen pengundi ketika pilihan raya yang akan benar-benar tiba.
- Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








