POLITIK

Faiz bidas kenyataan Exco Pemuda UMNO berhubung amalan tahlil

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil membidas kenyataan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali berhubung amalan tahlil yang disifatkannya berpotensi mengguris perasaan masyarakat Melayu Islam.

Menurut beliau, walaupun amalan tahlil sering menjadi perbahasan dalam kalangan ilmuan Islam, ia telah lama diamalkan oleh masyarakat Melayu dan tidak bercanggah dengan syariat kerana dipenuhi bacaan ayat al-Quran, selawat, zikir serta doa.

“Kenyataan bahawa tahlil bukan sebahagian daripada syariat Islam boleh mengguris perasaan orang Melayu kerana amalan itu sudah menjadi sebahagian daripada budaya dan tradisi masyarakat Islam di negara ini sejak sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Faiz berkata, perbezaan pandangan mengenai status tahlil dalam syariat tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mempermainkan atau menjadikannya sebagai alat politik bagi menyerang pihak tertentu.

Beliau berkata, tindakan menyindir mana-mana ahli politik, khususnya individu bukan Islam, dengan mengaitkan mereka kepada amalan tahlil adalah tidak wajar dan boleh menimbulkan ketegangan antara kaum.

“Amalan orang Melayu tidak sepatutnya dijadikan bahan ejekan atau sindiran terhadap orang bukan Melayu, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan amalan yang berkaitan dengan Islam,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Faiz turut mengkritik sikap PAS yang didakwanya berdiam diri terhadap kenyataan tersebut walaupun sering membawa naratif mempertahankan kepentingan Islam dan umat Melayu.

Beliau mendakwa parti itu dilihat tidak lagi lantang dalam beberapa isu berkaitan Islam apabila melibatkan sekutu politik mereka.

“Adalah malang apabila gelombang penyatuan umat digunakan untuk meyakinkan orang Melayu bahawa Islam terancam, namun PAS membisu dalam isu ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Faiz menggesa Wan Muhammad Zuhir menarik balik kenyataan berhubung amalan tahlil dan memohon maaf sekiranya kenyataan tersebut telah menyinggung perasaan masyarakat Melayu Islam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button