Bekas Ketua BERSATU Lembah Pantai dakwa lebih 300 ahli bakal sertai PAS
KUALA LUMPUR – Lebih 300 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan penyokong mereka bakal menyertai PAS dalam masa terdekat.
Bekas Ketua Bahagian BERSATU Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarudin berkata, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan bersama pimpinan serta ketua-ketua cawangan yang sebelum ini bergerak bersamanya di kawasan berkenaan.
“Saya mengambil keputusan menyertai PAS selepas meneliti landskap politik semasa dan berbincang dengan rakan-rakan perjuangan di peringkat akar umbi.
“Insya-Allah, lebih 300 bekas ahli BERSATU dan rakan-rakan di Lembah Pantai akan turut menyertai PAS dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO itu turut menyatakan komitmennya untuk menyokong usaha pembaharuan politik yang digerakkan Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi gagasan ‘Reset’.
Menurutnya, pendekatan tersebut seiring dengan hasrat memperkukuhkan agenda Melayu-Islam serta mewujudkan kestabilan politik negara.
Dalam masa sama, beliau menyambut baik penubuhan Parti Wawasan Negara yang diumumkan Hamzah di Tanah Merah, Kelantan dan berharap kerjasama strategik antara parti-parti Melayu dapat diperkasakan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya mendoakan PAS, UMNO dan Parti Wawasan Negara dapat mencapai persefahaman serta kerjasama yang kukuh demi kepentingan umat Melayu dan agama Islam.
“Penyatuan ummah perlu menjadi agenda utama supaya sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berpaksikan kepentingan rakyat dapat dibentuk pada PRU16 nanti.
“Tumpuan kita bukan sekadar memenangi pilihan raya, tetapi memastikan agenda penyatuan ummah, pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat dapat direalisasikan secara bersama,” katanya lagi.
Muhamad Muqharabbin yang juga dikenali sebagai Penjelajah Grand Slam Negara, menerima watikah keahlian PAS daripada Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu majlis di Markas Pas Kawasan Seremban, semalam.
Beliau berkata, penyertaannya dalam PAS menandakan fasa baharu perjuangan politiknya selepas meninggalkan BERSATU dengan fokus kepada usaha memperkukuhkan kerjasama politik Melayu menjelang PRU16.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















