POLITIK

BERSATU tepis dakwaan kerjasama dengan PH

CYBERJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menepis dakwaan akan bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil menegaskan komitmen kekal bersama Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, BERSATU turut menolak dakwaan kononnya wujud pertemuan atau perbincangan antara pimpinan parti berkenaan dan PKR bagi mewujudkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Beliau dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, dakwaan tidak berasas itu merupakan ciptaan kumpulan yang mahu menutup kegagalan pengkhianatan yang digerakkan menerusi Langkah Bangkok.

“BERSATU menafikan sekeras-kerasnya dakwaan akan kembali bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

“BERSATU juga menangkis fitnah wujud pertemuan dan perbincangan di antara pimpinan dengan PKR untuk maksud mewujudkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH),” kata Azmin dalam kenyataan tersebut.

Langkah Bangkok merupakan satu gerakan yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi menjatuhkan kerajaan.

Dalam kenyataan sama, Azmin turut mengingatkan rakyat supaya menyemak kesahihan sebarang dakwaan politik yang tersebar.

“Jangan terpedaya dengan bisikan syaitan yang kejam dan jahat untuk menghalang kemaraan BERSATU.

“Berita golongan fasiq mesti diselidik dan ditentusahkan terlebih dahulu,” katanya lagi.

Spekulasi mengenai hubungan antara BERSATU dan PH timbul susulan ketegangan antara parti berkenaan dan PAS dalam PN selepas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu mungkin bergerak solo pada PRU.

Azmin seterusnya berkata, parti BERSATU kekal dengan pendirian mempertahankan muafakat politik dalam PN secara teguh dan berprinsip.

“BERSATU bertekad akan terus kekal mempertahankan muafakat politik dalam PN dengan teguh dan berprinsip,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button