BERSATU rujuk ROS berhubung pertikaian status keanggotaan dalam PN
KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan merujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung pertikaian status keanggotaannya dalam Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, langkah itu susulan dakwaan PAS bahawa keanggotaan BERSATU dalam PN gugur secara automatik selepas parti berkenaan menyatakan hasrat membentuk gabungan politik baharu.
Menurut beliau, PN tidak sepatutnya ditadbir berdasarkan kepentingan mana-mana parti, sebaliknya perlu berlandaskan perlembagaan gabungan serta prinsip tadbir urus yang baik.
“Tindakan PAS melanggar Perlembagaan PN dan keputusan-keputusan MT PN berulang kali, termasuk menafikan hak parti anggota perlu dilaporkan kepada ROS agar perbuatan ini dapat dihentikan segera.
“Pengerusi PN sekarang seolah-olah boneka. Pusat kuasa adalah Rusila dan Presiden PAS boleh sewenang-wenangnya mempertikai serta melanggar keputusan MT PN dan berbuat sesuka hati.
“PN bukan seperti PAS. PN perlu diurus berpandukan Perlembagaan PN, adil dan tidak menafikan hak anggota, telus dan secara berintegriti.
“PN perlu dikembalikan menjadi PN yang asal, bukan ditadbir seperti sekarang,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.
Kelmarin, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, keanggotaan BERSATU dalam PN gugur secara automatik susulan pengumuman Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai hasrat membentuk gabungan politik baharu.
Abdul Hadi berkata, perkara itu berdasarkan Perlembagaan PN yang menetapkan keanggotaan sesebuah parti gugur sekiranya parti berkenaan menyertai gabungan politik lain.
Bagaimanapun, BERSATU menegaskan kedudukannya dalam PN masih kekal dan tidak berubah kerana parti itu belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana gabungan politik, termasuk Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








