Ahli Parlimen BERSATU desak parti keluar PN, dakwa kepimpinan Muhyiddin punca keretakan gabungan
KUALA LUMPUR — Seramai 13 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menggesa parti itu supaya segera keluar atau dikeluarkan daripada gabungan Perikatan Nasional (PN).
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, kumpulan Ahli Parlimen berkenaan berkata, ia susulan tindakan PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU yang didakwa berpunca daripada kelemahan kepimpinan parti.
Katanya, keputusan PAS itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sikap yang disifatkan sebagai angkuh dan sombong dalam kalangan kepimpinan tertinggi BERSATU.
“Kami amat kecewa dengan sikap BERSATU yang kerap kali melanggar semangat kebersamaan dalam PN. Keengganan menghormati semangat setiakawan antara parti komponen akhirnya telah memakan diri dan menghancurkan keutuhan koalisi yang telah dibina dengan susah payah,” menurut kenyataan itu.
Mereka turut mendakwa telah beberapa kali menegur Tan Sri Muhyiddin Yassin secara dalaman mengenai hala tuju parti dan kepentingan menjaga hubungan dalam PN, namun teguran tersebut tidak diberi perhatian sewajarnya.
Malah, mereka mendakwa Lembaga Disiplin parti telah disalahgunakan untuk menghalang mereka daripada terus menyuarakan pandangan dan kritikan terhadap kepimpinan parti.
Dalam kenyataan sama, kumpulan Ahli Parlimen itu mendakwa kedudukan BERSATU dalam PN kini semakin lemah dan tidak lagi mempunyai nilai strategik kepada gabungan berkenaan.
Sehubungan itu, mereka menggesa supaya semua lantikan politik dan jawatan Exco yang dipegang wakil BERSATU di negeri-negeri berkaitan turut dikaji semula dan dirombak.
Kenyataan tersebut ditandatangani oleh 13 Ahli Parlimen BERSATU, termasuk Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Zakri Hassan (Kangar), selain beberapa lagi wakil rakyat parti itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















