POLITIK

‘BERSATU dilanda penyakit kronik’

CYBERJAYA – Pergolakan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) susulan keputusan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) baru-baru ini boleh membawa kesan serius kepada perpaduan parti.

Pandangan itu disuarakan Datuk Dr Marzuki Mohamad, bekas setiausaha sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi perdana menteri.

“Ada penyakit kronik yg sedang melanda BERSATU. Penyakit ini mungkin kena pada seorang dua saja. Tapi kalau tak dicari ubat, nanti melarat,” kata Marzuki dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Mengimbas kembali apa yang berlaku sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, Marzuki berkata, Muhyiddin telah mencadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan tersebut, walaupun ada sebahagian anggota Majlis Pimpinan Tertinggi merasakan bahawa Muhyiddin sendiri layak menjadi perdana menteri.

Apabila perkara itu dibawa ke Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Marzuki berkata, Muhyiddin mempertahankan keputusan parti untuk menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri gabungan tersebut.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu merupakan pemimpin de facto PH, masih berada dalam penjara.

“Pada masa itu, saya tidak dengar walau seorang pun ahli BERSATU membantah pencalonan Dr Mahathir sebagai perdana menteri oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.

Sedangkan pada ketika itu, BERSATU jauh lebih kecil berbanding sekarang, hanya mempunyai seorang ahli parlimen iaitu Muhyiddin dan dua orang ADUN (Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Dr Shahrudin Salleh). Namun, ahli Bersatu lebih bersatu padu dalam mempertahankan keputusan parti,” katanya lagi.

Berbanding sekarang apabila BERSATU sudah mempunyai lebih daripada 90 wakil rakyat, namun sedang berpecah-belah berhubung keputusan yang dibuat dalam PAT yang lalu.

Pada 6 September lalu, ketegangan tercetus dalam PAT selepas sekumpulan kecil ahli menjerit ke arah Muhyiddin di penghujung ucapannya dan mendesaknya meletakkan jawatan.

Insiden itu berlaku selepas Muhyiddin mendedahkan bahawa terdapat ahli tertentu sedang mengumpul tandatangan untuk menjatuhkannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button