BERSATU hormati kuasa raja, nafi arah ADUN tandatangani SD singkir MB Perlis – Muhyiddin
KUALA LUMPUR – Parti BERSATU menegaskan tiada sebarang arahan dikeluarkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Perlis untuk menandatangani sebarang akuan berkanun (SD) berhubung kemelut pelantikan Menteri Besar negeri berkenaan.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu mengikuti rapat perkembangan krisis politik di Perlis susulan peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.
Menurut beliau, parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) masing-masing mempunyai mekanisme tersendiri bagi menguruskan sebarang isu yang timbul secara berhemah demi memastikan kestabilan serta kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.
“BERSATU hanya akan menyembah maklum nama calon Menteri Besar Perlis daripada parti ini selepas dititahkan oleh Istana Perlis untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN memaklumkan BERSATU akan mendengar penjelasan daripada ADUN BERSATU di Perlis bagi mendapatkan gambaran sebenar kedudukan isu tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa PN sentiasa menghormati kuasa budi bicara Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, serta menjunjung sepenuhnya Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri dalam urusan pelantikan Menteri Besar.
Dalam pada itu katanya, PN juga menghormati kedudukan PAS sebagai parti yang menerajui kepimpinan PN di Perlis.
Muhyiddin menyatakan harapan agar kemelut berhubung jawatan Menteri Besar Perlis dapat diselesaikan secara matang dalam semangat kekeluargaan besar PN demi kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








