BERITA SEMASA

PAS dakwa tuduhan BERSATU tidak tepat, sedia dedah rekod komunikasi

KUALA LUMPUR – PAS menyifatkan kenyataan Biro Politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terhadap Setiausaha Agung PAS sebagai tidak tepat, mengelirukan dan berniat mencemarkan kredibiliti parti itu.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tuduhan kononnya PAS tidak memberikan sebarang maklum balas sepanjang krisis berlaku adalah fitnah yang tidak berasas.

Menurut beliau, PAS masih menyimpan rekod komunikasi terperinci antara Setiausaha Agung PAS dan Setiausaha Agung BERSATU, serta bersedia mendedahkan perkara itu di platform yang sesuai.

“Fakta yang tidak disebut adalah mesej Setiausaha Agung BERSATU kepada Setiausaha Agung PAS pada 5 Mei lalu hanya memaklumkan keputusan mesyuarat tergempar Biro Politik BERSATU Pusat yang mengubah pendirian parti itu, sekali gus bertentangan dengan pendirian Perikatan Nasional yang telah dipersetujui bersama berhubung krisis di Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mendakwa satu lagi fakta yang disembunyikan ialah tindakan BERSATU menghantar nama calon Menteri Besar Perlis tanpa merujuk kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut menafikan dakwaan bahawa Presiden PAS sengaja tidak hadir menghadap Tuanku Raja Perlis pada 25 Oktober 2025.

“Untuk rekod, tidak pernah Presiden PAS dititah menghadap pada tarikh tersebut, mahupun pada mana-mana tarikh sebelum atau selepas kemelut Menteri Besar Perlis berlaku,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar kelemahan dalaman organisasi tidak dipindahkan kepada pihak lain bagi menutup kelemahan sendiri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button