BERITA SEMASAPOLITIK

Muhyiddin didakwa tolak Kerajaan Perpaduan tanpa bincang dengan Majlis Tertinggi PN

KUALA LUMPUR – Tindakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) didakwa dibuat tanpa perbincangan bersama Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, keputusan itu dibuat secara serta-merta oleh Muhyiddin yang juga Pengerusi PN ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 22 November 2022.

Menurutnya, ketika itu beberapa ketua parti politik termasuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dipanggil menghadap Seri Paduka selepas tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Atas dasar prinsip, mungkin beliau tidak mahu bersama DAP, mungkin kerana kami sudah dapat 115 kerusi terlebih dahulu, akhirnya membuatkan pendirian Tan Sri Muhyiddin menolak (cadangan Kerajaan Perpaduan).

“Bagaimanapun, saya difahamkan oleh beberapa pimpinan kanan PAS dan BERSATU, tolak menolak ini tidak dibincangkan dalam MT, maknanya keputusan itu dibuat dengan segera di depan Tuanku,” katanya dalam program The Zaid Ibrahim Podcast yang disiarkan semalam.

Wan Ahmad Fayhsal kini digantung keahlian daripada BERSATU selama satu penggal berhubung isu akuan bersumpah (SD) berkaitan desakan supaya presiden parti itu berundur.

Untuk rekod, pada petang 22 November 2022, Muhyiddin dalam sidang media selepas menghadap Al-Sultan Abdullah memaklumkan Seri Paduka menitahkan cadangan agar PN dan PH membentuk Kerajaan Perpaduan.

Namun, beliau menjelaskan kepada baginda bahawa gabungan itu berpegang pada prinsip untuk tidak bekerjasama dengan PH.

Bekas Perdana Menteri itu turut memaklumkan beliau diminta menandatangani dokumen berkaitan cadangan berkenaan, tetapi sebaliknya menulis nota menyatakan tidak bersetuju terhadap pembentukan Kerajaan Perpaduan antara PN dan PH.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button