POLITIK

PAS bermesyuarat sebelum Aidiladha, bincang hubungan dengan BERSATU

KUALA LUMPUR – PAS akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan ketetapan lanjut berhubung hubungannya dengan BERSATU.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mesyuarat itu adalah bagi membincangkan beberapa isu yang timbul membabitkan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

“Kita akan mesyuarat dalam masa terdekat kemudian kita akan buat keputusan. Ia akan dilakukan dalam satu atau dua hari lagi, sebelum raya (Aidiladha).

“Sama ada mesyuarat dengan kita dahulu (PAS), kemudian BERSATU, kita tengok. (Mungkin) Mesyuarat dengan PAS dahulu,” katanya kepada media selepas hadir pada Konvensyen Ulang Tahun ke-58 Parti Gerakan Rakyat Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Presiden GERAKAN, Dominic Lau dan Setiausaha Agung GERAKAN, Wong Chia Zen.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dipetik sebagai berkata, partinya akan menilai semula kerjasama dengan BERSATU susulan beberapa tindakan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dilihat melanggar semangat setia kawan parti komponen PN.

Terkini, BERSATU memecat beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri di Kedah yang juga EXCO Kerajaan Kedah serta Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button