BERITA SEMASA

PAS terima rayuan 3 ADUN PAS Perlis yang dihentikan keahlian

KUALA LUMPUR – Majlis Syura Ulamak PAS bersetuju menerima rayuan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Perlis yang dihentikan keahlian pada Disember tahun lalu.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, rayuan dikemukakan Saad Seman (Adun Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Adun Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Adun Guar Sanji).

Katanya, faktor penerimaan kembali menjadi ahli PAS adalah berdasarkan
prinsip al-Quran dalam Surah al-Hujurat ayat ke-10 yang bermaksud ”Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara saudaramu”.

“Perintah al-Quran ialah ukhuwah dan persaudaraan, bukannya menghentikan ahli tanpa kasih sayang. Rahmat Allah dan islah diutamakan, bukan menyemarakkan nafsu amarah dalam jamaah.

“Manhaj nabi dalam hukuman adalah mendahulukan taubat, membuka pintu kemaafan dan bukan tergesa-gesa menghukum seperti hadis al-Ghamidiyyah dan Juhainah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pas
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan keahlian Saad Seman, ADUN Chuping; Fakhrul Anwar Ismail, ADUN Bintong (tengah); dan Mohd Ridzuan Hashim, ADUN Guar Sanji (kiri) terhenti selepas bertindak menarik sokongan terhadap Menteri Besar.

Mengulas lanjut katanya, berdasarkan kaedah fekah menyebut kemudaratan hendaklah dihilangkan dan apabila tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tiada wakil rakyat berfungsi, maka terhasillah kemudaratan awam yang jelas.

“Kebajikan rakyat tidak boleh dikorbankan demi ketegasan pentadbiran parti. Siasah syariah matlamatnya adalah menjaga kesatuan saf, memelihara kepercayaan dalaman serta mengurus khilaf tanpa memusnahkan jemaah.

“Rakyat pula tidak boleh menjadi mangsa konflik dalaman parti.
PAS adalah jemaah Islam yang memperuntukkan kuasa yang besar kepada Majlis Syura Ulamak dan Mursyidul Am dalam Perlembagaan untuk memelihara Perlembagaan supaya dasar PAS dipatuhi dalam kegiatan dan pentadbiran PAS,” katanya.

Pada masa sama katanya Majlis Syura Ulamak perlu membawa watak adil, pendamai dan pemaaf dalam menyatukan ahli PAS yang berpecah, khasnya di Perlis supaya tidak berterusan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button