Sultan Selangor dukacita kepada Abdul Hadi Awang
PUTRAJAYA – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan Ahli Parlimen Marang itu yang disiarkan di portal berita pas.org.my pada 20 Februari lalu.
Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, kenyataan sinis Abdul Hadi yang mengaitkan alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu dengan sikap mengejar dunia semata-mata sebagai tidak beradab.
“Sekiranya Tan Sri Hadi lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan dengan meneliti dan memperhalusi titah ucapan Baginda, Tan Sri Hadi akan dapat memahami maksud sebenar Baginda.
“Kenapa sekarang beliau mempertikaikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara sedangkan agama Islam telah ditetapkan sebagai agama Persekutuan semenjak Perlembagaan digubal pada tahun 1957 lagi.
“Adakah Abdul Hadi tidak lagi menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara? Tidakkah ini juga menggambarkan Abdul Hadi sengaja mencetuskan polemik politik demi meraih sokongan rakyat khususnya umat Islam yang berbangsa Melayu,” katanya dalam kenyataan Selangor Royal Office hari ini.
Sehubungan itu kata Muhamad Munir, perasaan dukacita baginda itu telah disampaikan menerusi satu surat yang diutuskan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri bertarikh 27 Februari.
Katanya, antara intipati surat berkenaan, baginda Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapa baginda semasa mesyuarat MKI pada 15 Februari 2024.
“Baginda menasihatkan Abdul Hadi agar lebih berhati-hati di masa hadapan supaya tidak mengulangi perbuatan menghina raja-raja Melayu melalui kenyataan-kenyataan yang boleh memecah-belahkan umat Islam di negara ini.
“Baginda juga menitahkan agar ahli-ahli politik dan pemimpin politik tidak memperalatkan agama Islam dan mencemari kesucian agama Islam demi kepentingan politik kepartian masing-masing,” kata kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








