BERITA SEMASA

Kerajaan teliti cadangan bawa pulang Dara, Amoi dan Kelat

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sedang meneliti cadangan untuk membawa pulang tiga ekor Gajah Asia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) susulan kebimbangan terhadap aspek kebajikan haiwan berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pihaknya telah menerima memorandum daripada wakil aktivis sosial berhubung tuntutan tersebut dan perkara itu telah dipanjangkan kepada Majlis Perbandaran Taiping serta Zoo Taiping dan Night Safari untuk penelitian lanjut.

Menurut beliau, berdasarkan rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), pemindahan ketiga-tiga gajah itu adalah hasil perjanjian antara Zoo Taiping dan Night Safari dengan Tennoji Zoo Osaka yang dimeterai pada 2022.

“Perlu ditegaskan bahawa kementerian bukan pihak dalam perjanjian tersebut dan ketiga-tiga gajah berkenaan adalah aset Zoo Taiping dan Night Safari,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau turut menjelaskan keputusan penghantaran gajah itu dibuat di bawah pentadbiran terdahulu, namun sebagai menteri yang memegang tanggungjawab ketika ini, pihaknya tidak akan berkompromi dalam soal kebajikan hidupan liar.

“Sekiranya pelaksanaan perjanjian ini didapati tidak lagi selari dengan prinsip konservasi dan kebajikan haiwan, keperluan untuk membawa pulang gajah-gajah ini perlu dipertimbangkan secara serius,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak pengurusan Zoo Taiping dan Night Safari memulakan rundingan dengan Tennoji Zoo Osaka bagi menilai mekanisme membawa pulang haiwan tersebut ke Malaysia.

Dalam pada itu, kementerian juga bersedia bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan sebarang keputusan dibuat berasaskan fakta, bukti saintifik serta standard kebajikan haiwan yang diiktiraf.

Arthur berkata, isu berkenaan turut dibangkitkan dalam pertemuannya bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia serta dalam sesi libat urus bersama pihak berkepentingan sebelum ini.

“Kerajaan mengambil serius kebajikan haiwan dan akan memastikan setiap keputusan dibuat demi kepentingan terbaik negara serta khazanah alam,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button