Malaysia–Bangladesh perkukuh hubungan dua hala, tumpu perdagangan dan teknologi baharu
PUTRAJAYA – Malaysia dan Bangladesh bersetuju memperkukuh hubungan dua hala melibatkan pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan, pelaburan, teknologi baharu serta pengurusan tenaga kerja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan rasmi Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman ke Malaysia sebagai negara pertama dipilih selepas memegang jawatan itu menunjukkan hubungan erat serta kepercayaan tinggi antara kedua-dua negara.
Menurut beliau, Malaysia menghargai kunjungan tersebut yang membuka ruang lebih luas untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor.
“Kami amat berbesar hati menerima lawatan rasmi ini yang mencerminkan hubungan persahabatan yang kukuh dan berpanjangan,” katanya pada sidang media bersama di sini hari ini.
Anwar berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk memperluaskan kerjasama bukan sahaja dalam bidang perdagangan dan pelaburan, malah turut melibatkan sektor teknologi baharu seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), tenaga dan penyelidikan.
Selain itu, aspek pengurusan tenaga kerja turut menjadi antara fokus utama perbincangan dengan penekanan terhadap aspek kebajikan serta sistem pengambilan pekerja yang lebih telus dan adil.
“Kita memerlukan tenaga kerja, namun pada masa sama kita mesti memastikan kebajikan mereka terpelihara dan tidak berlaku sebarang bentuk eksploitasi,” katanya lagi.
Sementara itu, Tarique Rahman berkata, Malaysia merupakan antara rakan penting dan dipercayai Bangladesh sejak sekian lama, selain menyifatkan hubungan kedua-dua negara terus berkembang berdasarkan kepercayaan bersama.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas sokongan dalam pelbagai isu serantau dan antarabangsa serta menyatakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama ekonomi melalui rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).
Antara bidang lain yang dibincangkan termasuk industri halal, pendidikan, pembangunan kemahiran, ekonomi digital, infrastruktur tenaga serta pertahanan.
Kedua-dua pemimpin turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh mekanisme kerjasama sedia ada termasuk Mesyuarat Suruhanjaya Bersama serta konsultasi dua hala antara kementerian luar.
Perbincangan turut menyentuh isu serantau termasuk situasi di Myanmar, konflik Timur Tengah serta isu kemanusiaan melibatkan pelarian Rohingya, selain usaha memperkukuh keamanan global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








