Hubungan Malaysia–India kukuh, kerjasama ekonomi terus diperkasa – Anwar
SERDANG – Hubungan strategik Malaysia–India kini berada pada fasa yang semakin mantap, khususnya dalam kerjasama ekonomi yang memberikan pulangan bersama kepada kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kerjasama itu bukan sahaja merangkumi sektor ekonomi tradisional, malah turut berkembang pesat dalam bidang digital, pergerakan bakat serta pertukaran idea, sejajar dengan landskap global yang kian berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut Anwar, Dasar Tindakan ke Timur (Act East Policy) yang digariskan oleh India menjadikan ASEAN sebagai antara paksi utama hubungan luar negara itu, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai rakan penting dalam rangka kerjasama berkenaan.
“Malaysia berbangga menjadi sebahagian daripada kerangka Dasar Tindakan ke Timur India yang memperkukuh hubungan strategik dengan negara-negara ASEAN,” katanya ketika berucap pada Sesi Bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Komuniti India, di sini, hari ini.
Mengulas hubungan peribadi, Anwar berkata keakraban antara beliau dan Modi telah membantu memperdalam ikatan diplomatik antara Malaysia dan India, sekali gus memudahkan pelbagai inisiatif kerjasama dua hala direalisasikan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan lebih 1.5 juta pelancong dari India direkodkan melawat Malaysia sepanjang tahun lalu, jumlah yang melepasi paras sebelum pandemik COVID-19.
“Ketika kita melangkah ke arah Tahun Melawat Malaysia 2026, kehadiran Perdana Menteri Modi sendiri mencerminkan keyakinan dan minat tinggi rakyat India terhadap Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, Anwar memberi jaminan komuniti India di Malaysia akan terus menjadi sebahagian penting dalam agenda pembangunan negara, termasuk dalam pelaksanaan projek berskala besar.
“Komuniti India adalah rakan kongsi yang tidak terpisah dalam perjalanan membina negara ini. Saya sendiri membesar bersama jiran, guru dan rakan sekerja daripada komuniti ini, yang sumbangan dan dedikasinya membentuk kehidupan seharian kita.
“Kita belajar, bekerja, bersukan dan meraikan perayaan bersama. Di situlah asas sebuah negara dibina, bukan sekadar melalui dasar besar, tetapi melalui kehidupan bersama di bilik darjah dan tempat kerja,” katanya.
Narendra Modi tiba di Malaysia hari ini bagi lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Perdana Menteri, sebagai lawatan balas susulan kunjungan Anwar ke India pada Ogos 2024.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








