Kenyataan ‘lembu betina’: Pemimpin PAS mungkin langgar undang-undang – Azalina
KUALA LUMPUR – Pemimpin PAS mungkin telah melanggar beberapa peruntukan undang-undang apabila membuat kenyataan menyamakan pemimpin wanita dengan haiwan, selain memetik ayat al-Quran bagi mempertahankan kenyataan tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan sedemikian berkemungkinan melanggar beberapa seksyen di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574), termasuk Seksyen 509, Seksyen 504, Seksyen 298A, dan Seksyen 507B yang baharu diperkenalkan.
“Jika anda masih membandingkan pemimpin wanita dengan haiwan pada tahun 2025, tahniah! Anda mungkin telah melanggar beberapa peruntukan di bawah Kanun Keseksaan.
“Sekadar ingatan mesra: Seksyen 509? Ya. Seksyen 504? Ya. Seksyen 298A – jika anda membuat perbandingan menggunakan agama? Sudah pasti. Seksyen 507B yang baharu? Juga terpakai. Hati-hati sebelum kena saman!” katanya di X.
Seksyen-seksyen yang disebutkan itu masing-masing berkaitan perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang, niat membangkitkan pecah keamanan, tindakan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, serta ugutan melalui komunikasi.
Terdahulu, pemimpin PAS, Salman membuat perbandingan antara lelaki dengan lembu jantan dan wanita dengan lembu betina, dalam usaha menegaskan bahawa lelaki lebih layak menjadi pemimpin, berdasarkan pengalamannya menternak haiwan.
Menurut Salman, lazimnya lembu betina yang akan “menentukan segalanya”, manakala lembu jantan hanya berperanan sebagai pelindung kumpulan.
“Sebab itulah, kalau boleh kita jangan jadi seperti lembu yang mengangkat betina sebagai ketua. Lelaki sepatutnya menjadi ketua dan seiringan dengan ayat al-Quran dalam Surah an-Nisa, ayat 34.
“Kesianlah jika kehidupan kita itu disamakan seperti kehidupan lembu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Hari ini, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tampil mempertahankan kenyataan Salman dengan menyatakan bahawa analogi seperti itu sering digunakan dalam karya sastera dan tidak bertujuan untuk merendahkan martabat wanita.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








