PAS Perlis tidak iktiraf kerjasama dengan bekas ahli BERSATU sertai Parti Wawasan
KANGAR – PAS Perlis menegaskan tidak akan menjalinkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan individu yang berasal daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebelum ini, kemudian keluar parti dan menyertai Parti Wawasan.
Pesuruhjaya PAS Perlis, Ahmad Ali berkata, pendirian itu dibuat selagi isu berkaitan dakwaan pengkhianatan terhadap PAS oleh individu terbabit belum diselesaikan oleh pihak BERSATU.
Menurut beliau, PAS Perlis sentiasa berpegang kepada prinsip perjuangan Islam yang menekankan amanah, kejujuran dan kesetiaan dalam setiap bentuk kerjasama politik.
“Setiap perjanjian antara parti gabungan perlulah dipatuhi dan dilaksanakan sebaiknya kerana perlanggaran terhadap sebarang perjanjian jelas menunjukkan pengkhianatan dan ketidakharmonian yang berlaku.
“Sehubungan itu, setiap isu yang melibatkan pengkhianatan terhadap perjuangan hendaklah ditangani secara bertanggungjawab dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad berkata, pendirian tersebut diambil sebagai tanda menghormati prinsip amanah selain memelihara keyakinan rakyat terhadap integriti perjuangan politik.
Beliau turut berpandangan bahawa BERSATU perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu yang dikenal pasti sebagai dalang kepada perkara berkenaan sekiranya terdapat asas dan melalui proses yang sewajarnya.
“Selagi tiada penyelesaian atau tindakan yang jelas terhadap perkara tersebut, PAS Perlis berpendirian bahawa kerjasama politik dengan kumpulan berkenaan tidak wajar dipertimbangkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, PAS Perlis menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuhkan kesatuan bersama rakan gabungan yang benar-benar ikhlas mempertahankan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
Beliau berkata, setiap keputusan politik PAS Perlis akan dibuat berdasarkan prinsip maslahah, keadilan serta kepentingan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








