PRN Sabah: PAS bertanding di lima kerusi
KOTA BHARU – Parti PAS akan meletakkan calon di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November ini.
Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, tumpuan diberikan kepada DUN Karambunai kerana kerusi tersebut akan ditandingi Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang dianggap memiliki potensi besar untuk dimenangi Perikatan Nasional (PN).
“Kita ingin membawa satu pembaharuan melalui pendekatan PN di Sabah di mana negeri berkenaan berdepan dengan pelbagai isu dan yang paling besar iaitu membabitkan rasuah.
“Masalah ini menjejaskan pembangunan di Sabah yang bukan kerana peruntukan tidak ada, tetapi disebabkan peruntukan itu tidak sampai kepada rakyat.
“Oleh itu, melalui PN kita berusaha untuk membawa satu perubahan demi kebaikan rakyat Sabah,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Pada masa yang sama, parti-parti lain seperti Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang berdepan dengan pelbagai cabaran serta masalah dalaman mereka sendiri, katanya.
“Justeru, kita tampil menawarkan satu pilihan baharu kepada rakyat Sabah melalui PN dan berharap rakyat dapat membuat pertimbangan yang adil dan memberikan peluang kepada kita untuk melaksanakan pembaharuan yang diharapkan,” katanya.
Beliau menambah. berdasarkan perancangan setakat ini, PN dijangka akan bertanding di sekitar 40 kerusi seperti yang dibincangkan dalam mesyuarat terdahulu, namun jumlah muktamadnya masih belum diputuskan dan sudah sepakat untuk bertanding atas logo PN.
“Selain itu, terdapat juga kemungkinan beberapa parti lain akan turut serta menggunakan lambang PN.
“Bagaimanapun, perbincangan ke arah itu sedang dijalankan, namun semuanya masih di peringkat rundingan awal. Oleh sebab itu, kita perlu menunggu pengisytiharan rasmi sebelum segala keputusan dimuktamadkan dan diumumkan secara menyeluruh,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















