HIBURAN

Zizie Izette cabar penyebar dakwaan RM1.17 Bilion tunjuk bukti

Zizie Izette Minta Bukti Dakwaan Bung Moktar Tinggalkan RM1.17 Bilion

KUALA LUMPUR – Pelakon, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad menuntut bukti kukuh berhubung dakwaan Allahyarham suaminya, bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggalkan simpanan berjumlah RM1.17 bilion dalam akaun bank.

Zizie, 48, mempersoalkan bagaimana dakwaan mengenai jumlah wang yang begitu besar boleh tersebar sedangkan perkara itu sendiri masih belum dapat dipastikan olehnya.

Menerusi perkongsian di media sosial, beliau mencabar individu yang mendakwa mengetahui mengenai simpanan berkenaan supaya mengemukakan dokumen kewangan bagi menyokong kenyataan mereka.

“Kalau betul arwah suami saya tinggalkan RM1.17 bilion dalam akaun, sila tampilkan dengan bukti seperti penyata bank dan butiran akaun, saya cabar tunjukkan.

“Percayalah, tiada siapa yang lebih gembira selain saya dan lima anak kami sekiranya perkara ini benar-benar wujud,” katanya dalam satu hantaran, semalam.

Beliau turut menyindir pihak yang mendakwa mengetahui kedudukan kewangan Allahyarham, sedangkan dirinya sendiri masih mencari kepastian mengenai perkara tersebut.

“Hebat betul orang luar lagi tahu daripada tuan badan sendiri yang sampai sekarang masih mencarinya jika benar ada,” katanya.

Dalam masa sama, Zizie menggesa orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya mengaitkan nama Allahyarham dengan cerita yang belum dibuktikan, memandangkan beliau tidak lagi berpeluang mempertahankan dirinya.

“Janganlah main petik nama arwah sesuka hati untuk bergosip kerana arwah sudah tiada lagi untuk mempertahankan diri di dunia,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar menjaga tutur kata dan tidak menjadikan penyebaran dakwaan tidak sahih sebagai bahan perbualan.

“Nak bergosip berpada-padalah, banyakkan istighfar kerana takut nanti di akhirat kena jawab satu persatu di hadapan Allah SWT.

“Semoga kita semua dijauhkan daripada terus terjerumus dalam dosa fitnah yang merosakkan ini,” katanya.

Dalam perkongsian berasingan, Zizie turut mendedahkan tangkap layar perbualannya dengan seorang individu yang memaklumkan mengenai dakwaan kononnya Allahyarham mempunyai simpanan wang dalam jumlah besar.

Untuk rekod, Zizie mendirikan rumah tangga dengan Bung Moktar pada 2009. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak kandung dan turut membesarkan dua anak angkat.

Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Disember 2025 di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah, akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru yang serius.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button