BERITA SEMASA

Warga emas hilang tiga hari ditemui tidak bermaya di tepi semak

BERA – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selama tiga hari ditemui dalam keadaan tidak bermaya berhampiran kawasan tanaman kelapa sawit di Kampung Tebing Tinggi, Felda Triang 3 di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, Abd Rahim @ Mohd Ali Hassan, 76, ditemukan penduduk kampung kira-kira pukul 5.20 petang ketika mereka menjalankan usaha mencari lelaki berkenaan.

Menurutnya, warga emas itu ditemui terbaring di tepi semak berhampiran sebatang pokok sawit, manakala motosikal yang dibawanya turut berada tidak jauh dari lokasi berkenaan.

“Mangsa ditemukan penduduk kampung yang ketika itu bersama-sama mencarinya di kawasan kelapa sawit tersebut.

“Ketika ditemui, mangsa yang terbaring berada dalam keadaan tidak bermaya serta keletihan dan motosikal dibawanya juga berada berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian telah dibawa ke Klinik Kesihatan Bandar 32 untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Bera bagi rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan dipercayai mengalami keadaan nyanyuk ketika kejadian sehingga menyebabkan dia gagal mencari jalan pulang,” tambahnya.

Penemuan itu menamatkan usaha pencarian terhadap warga emas berkenaan yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button