Kapten kapal layar karam di Pulau Yu ditemui selamat selepas 40 jam terapung
KUALA TERENGGANU – Seorang kapten kapal layar warga Turki yang hilang selepas kapalnya karam di perairan Pulau Yu, di sini, akhirnya ditemui selamat malam tadi selepas lebih 40 jam terapung di laut.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa, Ahmet Volkan Ata, 52, ditemui pada jam 9.45 malam oleh sekumpulan nelayan tempatan pada kedudukan kira-kira tujuh batu nautika dari lokasi kejadian.
“Mangsa kini dirawat di Zon Kuning, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dan berada dalam keadaan stabil.
“Setakat ini tiada kecederaan luaran dilaporkan, namun pihak hospital akan menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap bahagian dalaman badan memandangkan beliau berada dalam air dalam tempoh yang lama,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Dalam kejadian Selasa lalu, kapal layar Daisy yang dikendalikan mangsa dilaporkan karam ketika berada di perairan Pulau Yu, sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan oleh pihak berkuasa.
Penemuan mangsa selepas lebih 40 jam di laut disifatkan sebagai keajaiban dan hasil kerjasama erat antara pasukan penyelamat serta komuniti nelayan tempatan.
Usaha menyelamat membabitkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








