Dituduh ‘red flag’ di media sosial: Dr Hakim hormati kritikan, gesa politik matang tanpa serangan peribadi
SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi menegaskan beliau menghormati hak semua pihak untuk memberikan pandangan, namun mengingatkan supaya perbahasan politik tidak melampaui batas sehingga menjadi serangan peribadi.
Beliau berkata, politik yang matang seharusnya tertumpu kepada idea, dasar dan rekod perkhidmatan, bukannya persepsi atau serangan terhadap peribadi seseorang.
“Semua orang boleh berpandangan tentang apa yang mereka nak, saya hormati pandangan tersebut. Tetapi perlu ada batas-batas yang dijaga.
“Politik matang bukan tentang serangan peribadi, tetapi ia tentang idea dan kerja. Biar rakyat menilai nanti,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu hantaran yang tular di platform Threads.
Terdahulu, seorang pengguna Threads mendakwa Dr Hakim berasal dari Pahang dan pernah berkhidmat di Klinik Kesihatan Tangkak sebelum menyertai klinik swasta.
Individu itu turut mendakwa beliau mempunyai beberapa ‘red flag’ serta mempersoalkan potensi Dr Hakim sebagai wakil rakyat, selain membuat komen bersifat peribadi terhadap penampilannya.
Dr Hakim kemudiannya membalas komen tersebut dengan menjelaskan bahawa beliau tidak pernah mendakwa dirinya dilahirkan di Negeri Sembilan dan perkara itu boleh disemak melalui semua platform media sosial rasminya.
Beliau turut menegaskan bahawa latar belakang dirinya tidak pernah disembunyikan.
“Terima kasih atas pandangan. Untuk makluman, saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa saya dilahirkan di Negeri Sembilan. Boleh rujuk mana-mana media sosial rasmi saya.
“Saya juga tidak pernah menyembunyikan latar belakang saya. Saya telah berkahwin dan dikurniakan lima orang anak.
“Saya percaya rakyat lebih wajar menilai saya berdasarkan kejujuran, rekod perkhidmatan dan kesungguhan untuk berbakti kepada masyarakat, bukan andaian atau persepsi. Terima kasih,” katanya menerusi balasan di Threads.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















