BERITA SEMASA

Pengguna media sosial perlu berhemah, elak kenyataan cetus perpecahan kaum – Yuneswaran

KUALA LUMPUR – Pengguna media sosial perlu lebih bertanggungjawab ketika menyuarakan pandangan bagi mengelakkan kenyataan negatif dan keterlaluan mencetuskan ketegangan serta perpecahan kaum di negara ini.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, penggunaan media sosial untuk menyebarkan kenyataan sedemikian perlu diberi perhatian serius bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum terus terpelihara.

“Jika kita lihat di rantau ini, Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian bahasa, etnik dan dialek. Kita mempunyai lebih kurang 130 bahasa dan dialek yang digunakan, dan ini merupakan satu keunikan yang cukup hebat.

“Kadangkala, kita melihat terdapat isu tertentu di media sosial. Seperti yang saya ingin petik, rakyat bersatu, tetapi pengguna media sosial kadangkala berpecah belah,” katanya,

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Hi-Tea Timbalan Menteri Perpaduan Negara Bersama Media, di ibu negara, hari ini.

deepavali
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Dalam pada itu, Yuneswaran bersetuju kritikan daripada warganet penting dalam membina masyarakat yang lebih baik, namun menegaskan pandangan berkenaan perlu disampaikan dengan cara yang betul.

Beliau berkata, isu perpaduan kaum bukan hanya berkaitan aspek keagamaan, malah turut dipengaruhi faktor dasar seperti jurang ekonomi, jurang sosial dan ketidakseimbangan pembangunan sosioekonomi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berkata, kementeriannya memperkenalkan pendekatan baharu tahun ini menerusi tema ‘Bersama Membina Negara Bangsa’ bagi memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat.

Yuneswaran berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan tiada golongan masyarakat yang terpinggir, termasuk mereka yang kurang berkemampuan atau berdepan kekangan dari segi lokaliti, pemilikan harta dan kedudukan sosial.

“Kita mahu semua rakyat Malaysia dapat menikmati secebis rasa perpaduan dalam negara kita yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan subetnik,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button