BERITA SEMASA

Tarif elektrik berperingkat disasar bermula 2027, tenaga nuklear belum diputuskan

KUALA LUMPUR – Cadangan memperkenalkan tarif elektrik berperingkat mulai 2027 masih dalam penelitian kerajaan, manakala penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga negara belum diputuskan.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kementeriannya bersama Suruhanjaya Tenaga sedang meneliti penambahbaikan mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA), termasuk cadangan struktur tarif baharu bagi memastikan perlindungan pengguna lebih bersasar.

“Penelitian ini mengambil kira keperluan mewujudkan mekanisme pelarasan tarif yang lebih adil mengikut kategori pengguna, terutama dalam menghadapi ketidaktentuan harga bahan api di pasaran global.

“Sasaran utama adalah untuk memberikan perlindungan kepada pengguna mengikut kategori yang mana ia dilihat lebih adil dan bersasar bagi mendepani realiti ketidaktentuan harga bahan api pasaran global yang berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, Fadillah menegaskan cadangan berkenaan masih dikaji dan belum dimuktamadkan sebagai dasar untuk dilaksanakan.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata kerajaan turut menilai tahap kesiapsiagaan negara sebelum menentukan sama ada tenaga nuklear sesuai dijadikan antara sumber tenaga Malaysia pada masa hadapan.

Menurutnya, penilaian itu meliputi empat aspek utama, iaitu dasar, perundangan dan kawal selia; pembiayaan serta pembangunan infrastruktur fizikal, teknikal dan industri; penglibatan masyarakat dan pihak berkepentingan; serta pembangunan modal insan.

“Kita hendak memastikan terlebih dahulu kesiapsiagaan dalam setiap aspek dan kemudian baharulah diputuskan Pendekatan Berfasa IAEA untuk diputuskan sama ada nuklear sebagai sumber tenaga negara kita,” tambahnya.

Kedua-dua penelitian itu mencerminkan usaha kerajaan memperhalusi dasar tenaga negara, merangkumi mekanisme tarif yang lebih bersasar bagi melindungi pengguna serta penilaian menyeluruh terhadap kesediaan Malaysia sebelum menentukan pilihan sumber tenaga jangka panjang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button