BERITA SEMASA

Rombakan Kabinet perkasakan gerak kerja, pentadbiran Kerajaan Perpaduan – Fadillah

PUTRAJAYA – Rombakan Kabinet seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merupakan satu langkah bagi memperkasakan lagi gerak kerja dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelantikan muka baharu yang berwibawa termasuk pewujudan kementerian baharu dan penyusunan semula bidang tugas di kementerian sedia diyakini mampu memacu setiap rancangan mahupun agenda yang telah disusun rapi oleh Kerajaan Madani demi kesejahteraan rakyat.

“Dalam membuat pertimbangan penyusunan semula Kabinet kepentingan negara dan politik yang stabil tentunya menjadi keutamaan Perdana Menteri.

“Ini amat penting kerana untuk kita mengerakkan dan memperkukuhkan ekonomi, asas utama adalah kedatangan pelabur serta politik yang stabil,” kata Fadillah dalam satu kenyataan, hari ini.

Fadillah yang sebelum ini turut memegang portfolio Perladangan dan Komoditi, kini diamanahkan menjaga kementerian baharu, Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, selain turut bertanggungjawab dalam urusan hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Portfolio Perladangan dan Komoditi kini dipegang oleh Datuk Seri Johari Ghani.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, kerana terus memberi kepercayaan kepada saya untuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan memberikan kepercayaan untuk saya menerajui kementerian baharu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Menteri Bertanggungjawab Terhadap Hal Ehwal Sabah Sarawak.

“Bagi Hal Ehwal Sabah Sarawak keutamaan akan saya berikan kepada meneruskan usaha menyelesaikan segera isu-isu tertunggak dan meletakkan MA63 ditempat sepatutnya, sekali gus merapatkan lagi jurang fizikal, ekonomi dan sosial antara Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung,” kata Fadillah lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button