BERITA SEMASA

Murid tahun empat maut digilis lori

KOTA BHARU – Seorang murid perempuan Tahun Empat meninggal dunia selepas 24 jam bertarung nyawa akibat kecederaan parah yang dialami selepas digilis sebuah lori dalam kemalangan berhampiran persimpangan lampu isyarat Kubang Kerian, di sini.

Mangsa, Putri Nur Aishah Abdullah, 10, yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 2, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang Isnin ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian akibat kecederaan parah dan pendarahan teruk.

Ibu mangsa, Nadja Aida Natasha Mohd Noor, 30, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.20 petang Ahad ketika anak sulung daripada tiga beradik itu membonceng motosikal bersama datuknya, Bakri Daud, 61, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Chicha selepas selesai makan bersama.

Menurutnya, setibanya berhampiran persimpangan lampu isyarat Kubang Kerian, motosikal yang dinaiki mereka bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah sama sebelum terbalik.

“Ayah saya yang menunggang motosikal terjatuh ke sebelah kiri dan hanya mengalami luka ringan, manakala anak saya terjatuh ke sebelah kanan sebelum digilis lori di bahagian perut.

“Pemandu lori itu menghentikan kenderaannya selepas menyedari kejadian dan terkejut apabila melihat anak saya berada di bawah lori dalam keadaan cedera parah,” memetik TV3 online.

Beliau berkata, Putri Nur Aishah kemudian dikejarkan ke HPUSM dan ditempatkan di Zon Merah dalam keadaan kritikal sebelum menjalani pembedahan kecemasan bagi menghentikan pendarahan.

“Walaupun pasukan perubatan berusaha menyelamatkan nyawa mangsa, keadaan anaknya terus merosot akibat kehilangan darah yang banyak dan pendarahan yang tidak berhenti. Doktor turut mencadangkan pembedahan kali kedua bagi mengenal pasti punca pendarahan berterusan tersebut.

“Keadaan dia semakin lemah sebelum akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada petang Isnin,” katanya lagi.

Jenazah Putri Nur Aishah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chicha pada jam 9.30 malam hari yang sama.

Dalam pada itu, Nadja Aida Natasha berkata, keluarganya reda dengan pemergian mangsa, namun mengakui masih terkilan kerana pemandu lori terbabit tidak tampil bertemu keluarga atau memohon maaf sejak kejadian berkenaan berlaku.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button